Lelaki maut tergelincir di air terjun Lata Kinjang

Mangsa dipercayai tergelincir di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun berkenaan.
Mangsa dipercayai tergelincir di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun berkenaan.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun maut selepas tergelincir ke dalam kolam di kawasan air terjun Lata Kinjang di Chenderiang pada Jumaat.

Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 5.10 petang dan operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah.

"Mangsa Syahrulrazi Maskur dipercayai tergelincir ke dalam kolam di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun dan tidak sedarkan diri.

"Pasukan penyelamat perlu mendaki kira-kira satu kilometer ke bahagian puncak air terjun untuk sampai lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Shazlean berkata rakan mangsa telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun mangsa tiada tindak balas sebelum menghubungi talian kecemasan.

Beliau berkata mangsa dibawa turun oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Johari Yahya berkata rakan mangsa membuat laporan kejadian pada 6.46 petang, menyatakan mereka dari Sabak Bernam, Selangor ke situ untuk mendaki dan mandi di air terjun tersebut.

"Pada jam kira-kira 2.50 petang, ketika rakan mangsa sedang memasang hammock di atas bukit, dia menyedari mangsa tiada di kawasan air terjun. Selepas mencari di sekitar lokasi, mangsa ditemukan dalam keadaan meniarap di permukaan air,” katanya dalam kenyataan.

Johari berkata bedah siasat di Hospital Tapah mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi air terjun sentiasa mengutamakan keselamatan diri. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun maut selepas tergelincir ke dalam kolam di Air Terjun Lata Kinjang, Chenderiang
  • Mangsa dipercayai tergelincir semasa berada di kawasan tempat pemeriksaan 12 di bahagian paling atas air terjun
  • Pasukan penyelamat perlu mendaki kira-kira satu kilometer ke bahagian puncak air terjun untuk sampai ke lokasi kejadian
  • Rakan mangsa telah mencuba CPR tetapi mangsa tiada tindak balas sebelum menghubungi talian kecemasan
  • Bedah siasat di Hospital Tapah mendapati punca kematian adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!