PATI sanggup terjun balkoni elak ditangkap

Antara PATI yang ditahan ketika operasi dilaksanakan di Cempaka Court, Bandar Baru Nilai - Foto: Imigresen Negeri Sembilan
Antara PATI yang ditahan ketika operasi dilaksanakan di Cempaka Court, Bandar Baru Nilai - Foto: Imigresen Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan nekad beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melompat dari satu rumah ke rumah lain di tingkat lima melalui balkoni gagal untuk meloloskan diri ketika diserbu pihak berkuasa pada Jumaat.

Serbuan itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan di Pangsapuri Cempaka Court, Bandar Baru Nilai, di sini, kira-kira jam 11 malam.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, daripada 299 warga asing yang diperiksa, 23 daripadanya berusia antara 22 hingga 51 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka terdiri daripada 21 lelaki dan dua wanita, membabitkan 12 warga Bangladesh, sembilan warga India, satu warga Indonesia dan satu warga Pakistan.

“Semasa operasi terbabit, terdapat PATI yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan melangkah dari rumahnya di tingkat lima ke rumah sebelah melalui balkoni untuk meloloskan diri daripada dicekup,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, ada juga PATI yang menyembunyikan diri di bawah atap genting dan di atas tangki air, namun kesemua mereka berjaya dikesan dan ditahan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung keberadaan ramai warga asing yang disyaki tiada pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tambahnya, semua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk melalui pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang.

Ringkasan AI

  • Pendatang asing tanpa izin gagal meloloskan diri dengan melompat antara balkoni di tingkat lima ketika diserbu
  • Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan melakukan serbuan di Pangsapuri Cempaka Court
  • Dari 299 warga asing diperiksa, 23 ditahan atas pelbagai kesalahan
  • PATI yang ditahan terdiri dari warga Bangladesh, India, Indonesia, dan Pakistan
  • Semua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!