Tiada kompromi terhadap peniaga asing tanpa lesen

KUANTAN – Kerajaan Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Dr Sim Chon Siang berkata, tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan, termasuk menggunakan nama rakyat tempatan bagi membolehkan warga asing berniaga.
"Ada rakyat kita yang menggunakan nama untuk orang (peniaga) warga asing, tetapi mengikut undang-undang mereka yang berada di kaunter jualan mesti orang tempatan.
"Warga asing boleh diambil bekerja, tetapi mesti dengan cara yang sah. Jika kita dapati (penjaga) kaunter bukan orang Malaysia dan tindakan boleh diambil," katanya selepas memantau operasi perniagaan Pasar Besar Kuantan di sini pada Khamis.
Chon Siang memberitahu, dua aduan mengenai peniaga warga asing tanpa lesen diterima di kawasan Kuantan khususnya di Jalan Bukit Ubi dan Medan Warisan namun tindakan telah diambil.

"Saya harap sesiapa yang mempunyai aduan mengenai warga asing berniaga tanpa lesen, sila maklumkan kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan," ujarnya.
Mengulas mengenai pemantauan harga barangan di Pasar Besar Kuantan, Chon Siang memaklumkan harga sayur-sayuran masih terkawal walaupun berlaku sedikit kenaikan disebabkan musim tengkujuh.
"Saya tengok sendiri, tiada kenaikan luar biasa, cuma naik sikit saja sebab bekalan kurang," jelasnya.
Mengenai larangan penggunaan bekas polisterin yang dilaksanakan sejak Julai lalu, beliau meminta peniaga supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan.
"Kalau masih guna polisterin, MBK (Majlis Bandaraya Kuantan) boleh ambil tindakan kerana kita telah memberi amaran," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing tanpa lesen
- Tindakan akan diambil terhadap mereka yang menggunakan nama rakyat tempatan untuk berniaga
- Dua aduan tentang peniaga warga asing tanpa lesen diterima di Kuantan
- Harga sayur-sayuran di Pasar Besar Kuantan masih terkawal meskipun ada sedikit kenaikan
- Peniaga diminta patuhi larangan penggunaan bekas polisterin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

