Gandingan Cikgu Ad, Syahir bakal cetus kegerunan lawan

KUALA LUMPUR – Dua nama besar yang pernah menggempur pentas profesional sepak takraw tanah air kini kembali digandingkan semula.
Azhar Sarabini atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ad dan Mohammad Syahir Rosdi, tekong nombor satu negara dan bekas tunjang utama pasukan KL Thunders, bakal bersatu semula bagi menggoncang Piala Tun Ali 2025 yang akan membuka tirai pada 3 hingga 9 November ini di Dewan Bola Keranjang Bukit Serindit, Melaka.
Kali terakhir dua figura ini bergandingan, mereka menjadi nadi kekuatan KL Thunders dalam Sepak Takraw League (STL). Kini, mereka kembali bukan sekadar untuk bernostalgia, tetapi membawa misi baharu di bawah panji MARA, yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij anjuran Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu.
Menariknya, kehadiran Cikgu Ad kini merancakkan semula arena arus perdana sepak takraw negara selepas beberapa tahun menyepikan diri dan kali ini beliau membimbing satu pasukan yang boleh dianggap ampuh kerana dibarisi Syahir selaku tekong utama bersama dua lagi nama hebat: Amirul Zazwan (apit kiri) dan Aekkasit Naphom (apit kanan), pemain import dari Thailand.
Barisan pemain pasukan MARA itu diperkenalkan pada Majlis Gegar Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 MARA Squad Unleashed yang dirasmikan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman di Kuala Lumpur, hari ini.
Dengan barisan sehebat ini, tidak hairan jika regu MARA bakal menjadi antara pencabar baharu dan tumpuan utama kejohanan yang menghimpunkan 21 pasukan dari seluruh negara.
Biarpun tiada latihan awal menjelang kejohanan, Cikgu Ad percaya dengan kemampuan para pemainnya kerana mereka sudah berpengalaman bermain dalam kejohanan besar.
“Saya dan para pemain terutamanya Syahir dan Amirul Zazwan sudah lama saling memahami gaya permainan masing-masing. Bila peluang ini datang, saya anggap ia bukan kebetulan tapi satu peluang untuk menghidupkan semula semangat juang yang pernah kami bina di KL Thunders dulu.
“Begitu juga dengan Aekkasit, Muhammad Firdaus dan Amyrul Syafiq yang kita tak boleh pertikaikan kehebatan dan mutu permainanya mereka,” kata Azhar kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Bagi Syahir pula, penyatuan semula ini ibarat kembali ke pangkal semangat, kembali di bawah bimbingan insan yang banyak berjasa dalam membuka jalan dalam kariernya.
“Cikgu Ad banyak membentuk disiplin dan corak permainan saya.
“Walaupun kali ini saya mewakili MARA, semangatnya tetap sama iaitu bermain dengan hati, bukan sekadar untuk menang tapi untuk buktikan kita masih mampu beri saingan kepada nama-nama besar,” katanya penuh yakin.
Sebagai makluman, Piala Tun Ali merupakan kejohanan ketiga tertinggi dalam kalendar rasmi PSM selepas Piala Emas Khir Johari dan Sepak Takraw League (STL). Edisi ke-4 tahun ini dianggap medan penting buat MARA untuk menguji keampuhan skuad mereka.
Bukan setakat regu lelaki terbuka, MARA turut menghantar pasukan kuadran dan wanita terbuka, dengan 26 pegawai dan pemain keseluruhannya. Menariknya, skuad wanita MARA turut memperkuatkan barisan dengan tekong import dari Indonesia, yang dijangka mencetuskan kejutan dan saingan sengit.
Dengan tema ‘Sukan Menyatukan Kita’, penyertaan sulung MARA bukan sekadar langkah berani dalam gelanggang, tetapi lambang kesepaduan warga MARA dalam menjulang kembali maruah serta nama besar sepak takraw Malaysia di pentas kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
