Wanita rugi hampir RM2 juta terpedaya skim pelaburan dalam talian

GEORGE TOWN - Seorang pegawai jualan di di sebuah syarikat swasta kerugian hampir RM2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menggunakan nama syarikat pelaburan antarabangsa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ts Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan daripada wanita berusia 53 itu pada 29 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa telah diperdaya melalui iklan pelaburan saham menawarkan keuntungan tinggi yang dilihatnya pada pertengahan Ogos lalu di aplikasi Facebook.
"Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum dijemput menyertai kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘Merrill’.
"Mangsa diberi penerangan kononnya pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan antara 150 hingga 200 peratus dalam tempoh dua minggu daripada jumlah modal yang dilaburkan,"katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Azizee berkata, mangsa yang berminat menyertai skim itu telah diminta memuat turun aplikasi pelaburan bernama MML Max dan membuat pendaftaran serta pelaburan.
Jelasnya, antara 6 September hingga 28 Oktober lalu, mangsa telah melakukan 35 kali transaksi ke enam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.97 juta.
Bagaimanapun katanya, mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dijanjikan malah diminta membuat bayaran tambahan bagi pengeluaran keuntungan.
"Mangsa yang curiga akhirnya tampil membuat laporan polis selepas mengesyaki telah ditipu," katanya.
Azizee menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian kerana kebanyakannya berisiko tinggi dan berpotensi menjadi penipuan.
Tambahnya, masyarakat diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan helah scammer di media sosial.
"Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti berkenaan mempunyai kebenaran untuk menawarkan produk atau perkhidmatan pelaburan," katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai jualan kerugian hampir RM2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian
- Mangsa diperdaya melalui iklan pelaburan saham di Facebook dan berkomunikasi melalui WhatsApp
- Mangsa diminta memuat turun aplikasi pelaburan MML Max dan melakukan 35 transaksi ke enam akaun berbeza
- Mangsa menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran keuntungan dan diminta bayaran tambahan
- Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan skim pelaburan dalam talian dan memeriksa dengan BNM atau Suruhanjaya Sekuriti sebelum melabur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

