Maut dipijak gajah: 'Arwah betul-betul pulang tapi sudah tiada' - Anak angkat

KOTA BHARU – Mandur balak yang maut dalam keadaan menyayat hati selepas diserang gajah di kawasan pembalakan Felda Aring 8, Gua Musang sempat meninggalkan pesanan suara kepada isterinya memaklumkan niat untuk pulang ke rumah di Ketereh di sini sebelum insiden tersebut.
Mesej suara Saidi Jahari, 43, berkenaan bagaimanapun hanya diterima selepas kejadian pada Rabu disebabkan tiada liputan di kawasan hutan tempat arwah bekerja.
Anak angkat mangsa, Farisha Irwayu Faizal, 21, berkata, dalam pesanan suara tersebut, arwah memaklumkan mahu pulang bertemu keluarga sambil berpesan agar meninggalkan anak kunci rumah kerana isterinya, Maslina Muhamad, 40, akan berkunjung ke Rawang, Selangor bagi menghadiri perkahwinan sepupu isterinya itu.
“Dia bekerja di hutan dan akan pulang ke rumah seminggu atau dua minggu sekali. Memang selalu dia mesej ataupun buat panggilan video apabila ada liputan.
“Pesanan suara dia beritahu nak balik tu masuk lambat, tapi dia betul-betul pulang dalam keadaan sudah meninggal dunia,” katanya yang juga anak saudara kepada Maslina ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pangkal Kuang 2, Kampung Dendang, Ketereh di sini pada awal pagi Jumaat.

Saidi sebelum itu ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah dipercayai dipijak gajah liar yang mengamuk dalam dua serangan berasingan di kawasan rumah kongsi pekerja pembalakan bermula kira-kira jam 10 malam.
Mayat Saidi ditemui beberapa jam kemudian di laluan keluar rumah kongsi berkenaan dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Dendang, Ketereh.
Jenazah disolatkan di rumah sebelum dibawa ke tanah perkuburan dan selamat disemadikan pada jam 2.40 pagi dengan kehadiran ahli keluarga.
Pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Rekod di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat itu berkata, kali terakhir dia bertemu Saidi ialah pada 6 Oktober lalu sebelum kembali ke kampus selepas cuti semester.

“Saya memang rapat dengan arwah dan akan bergilir-gilir tinggal di rumah ibu kandung di Kuala Krai atau di rumah arwah di Ketereh.
“Walaupun pendiam, tetapi dia sangat penyayang dan pemurah. Selalu WhatsApp atau buat panggilan video tanya keadaan saya serta tanya ada duit lagi atau tidak,” katanya.
Menurut Farisha, dia menerima berita kejadian kira-kira jam 11 pagi Khamis ketika sedang bersiap untuk ke kelas.
“Saya terlepas panggilan telefon daripada ibu saudara dan terus menghubunginya semula serta diberitahu bapa angkat yang saya panggil Pak Lang sudah meninggal dunia.
“Saya bertolak dari Segamat dan sampai di Hospital Gua Musang kira-kira jam 6.30 petang untuk mengiringi arwah di dalam van jenazah hingga ke kubur,” katanya.
Arwah meninggalkan seorang isteri dan seorang lagi anak angkat lelaki, Nur Musyrif Syafi Muhazam, 7 tahun yang juga anak saudara isterinya yang dijaga sejak kecil.
Ringkasan AI
- Mandur balak maut diserang gajah di Gua Musang sempat meninggalkan pesanan suara ingin pulang bertemu keluarga
- Saidi Jahari ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah dipercayai dipijak gajah liar
- Mayat Saidi dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Ketereh
- Jenazah Saidi disemadikan pukul 2.40 pagi Jumaat dengan kehadiran ahli keluarga
- Saidi meninggalkan seorang isteri dan seorang lagi anak angkat lelaki
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

