Perintah Kawalan Pergerakan disambung sehingga 14 April

Anggota Polis giat menjalankan sekatan jalanraya ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) -Foto Bernama
Anggota Polis giat menjalankan sekatan jalanraya ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan kepada 14 April.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lanjutan tempoh tersebut diputuskan berikutan trend positif baharu dijangka akan berterusan.

“Saya telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Trend semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku. Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes baharu mula menurun.

“Ini menuntut kerajaan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Katanya, permakluman pelanjutan Tempoh Kawalan Pergerakan lebih awal supaya rakyat Malaysia lebih bersedia.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.

“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. Pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah daripada sekarang bagaimana nak menguruskannya,” katanya.

Menurutnya, tempoh kuatkuasa perintah itu akan dikaji dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Apa yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

“Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Apa yang penting semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi.

“Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini. -Foto Bernama

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut memaklumkan akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh.

“Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus-lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. Insya-ALLAH, no one will be left behind (tidak akan ada yang tertinggal).

Beliau turut berharap pusat pungutan zakat di setiap negeri memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu asnaf yang sedang menghadapi keadaan hidup lebih sukar pada masa ini.

“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera. Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

“Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangkap individu degil, biadab, cabar PKP: KPN

Muhyiddin berkata, belau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik.

“Insya-ALLAH, dengan izin ALLAH SWT kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan petugas-petugas barisan hadapan terus cekal melaksanakan tugas.

“Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah. Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.

Sementara itu, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,” katanya.