Menjelang usia 70 tahun: Felda menulis semula tentang perjuangan

70 tahun bukan sekadar angka dalam kalendar. Tujuh dekad adalah gema masa yang memantulkan kembali semangat peneroka yang pernah menebas belukar dan lalang untuk menanam harapan.
Dari segenggam tanah basah di Lurah Bilut hingga ke peta global, Felda bukan sekadar institusi pembangunan tanah, tetapi manuskrip perjuangan bangsa yang sentiasa disunting semula oleh masa.
Felda kini berdiri di halaman baharu di antara nostalgia yang melankolik dan cita-cita yang panas antara warisan yang dikelek dan pembaharuan yang dijunjung.
Di sinilah kisah perjuangan itu perlu ditulis semula: bukan kerana ia telah usang dan lusuh tetapi kerana maknanya semakin dalam dan tajam.
Dalam jatuh bangun itu, pertanyaan besar muncul: bagaimana sebuah institusi yang diasaskan dengan idealisme kini mengekalkan makna perjuangan itu dalam dunia yang bising dan berubah begitu cepat?
Kewangan dan kepercayaan
Dunia korporat menilai kejayaan melalui berapa banyak angka kosong di akaun bank. Namun bagi Felda pula, angka hanyalah satu dimensi daripada sebuah perjalanan panjang.
Selepas menempuh fasa pemulihan kewangan yang mencabar dan dicabar, Felda kini menstruktur semula aliran tunainya dengan disiplin korporat baharu dengan memastikan aset ladang, perusahaan hiliran, dan pelaburan strategik berfungsi secara holistik.
Kebangkitan semula keyakinan ini bukan sekadar hasil imbangan akaun semata tetapi hasil imbangan kepercayaan juga. Datang dalam bentuk pakej.
Potensi sawit mendunia
Kelapa sawit - simbol ketekunan peneroka kini berdiri di tengah arus ekonomi dunia.
Pasaran global terus menuntut minyak sawit lestari, telus dan berdaya saing. Felda melalui anak syarikat dan rangkaian ekosistem strategiknya memperkukuh sistem kebolehjejakkan (traceability), memperkenal teknologi ladang pintar, dan menembusi pasaran premium.
Inilah momen baharu Felda. Ia bukan lagi hanya pengeluar bahan mentah, tetapi penggerak nilai tambah. Felda tidak menunggu tepukan atau sambutan - ia bekerja dalam diam, menanam masa depan dengan akar yang panjang.
Ketika institusi lain berlari mengejar relevansi, Felda memilih untuk menegakkan makna juang. Ini kerana dalam dunia yang cepat berubah dan mencabar, yang kekal bukan siapa yang paling laju, tetapi siapa yang paling jujur kepada asal usul perjuangannya.

Apabila tinta sejarah kering kelak, dunia akan tahu: perjuangan tersebut tidak pernah tamat kerana tamat adalah dosa besar bagi peneroka.
Digitalisasi dan generasi baharu
Sekiranya dulu Felda membina rumah peneroka di pinggir hutan, hari ini Felda sedang membina data raya di awan digital. Projek digitalisasi ladang, analitik hasil, dron pemantauan tanaman dan automasi kilang bukan lagi mimpi masa depan — ia kini mula menjadi realiti.
Digitalisasi bukan sekadar teknologi. Ia adalah bahasa baharu kepercayaan - menghubungkan peneroka rentas generasi yang pernah hidup dengan jadual memetik, menoreh dan tuaian dengan generasi muda yang hidup dalam graf, algoritma dan kecerdasan buatan.
Melalui pendekatan digital, Felda kini melatih tenaga baharu — agar perjuangan tidak hanya diwarisi, tetapi dipelajari semula dengan cara yang lebih pintar.
Menulis semula tentang perjuangan
Ketika Felda melangkah ke usia tujuh dekad, kepimpinannya di bawah Pengerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Besar, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman menandakan era baharu yang memadukan warisan dan visi.
Felda bukan sekadar membaiki kewangan atau memperkemas sistem; ia sedang menulis semula naratif perjuangan dari kelangsungan kepada kemajuan, dari kelapa sawit kepada ekonomi digital, dari peneroka kepada pelabur global.
Menjelang usia 70 tahun pada 2026 nanti, Felda tidak sekadar meraikan sejarah ia sedang menulis semula bab baharu tentang keberanian, ketelusan dan kebangkitan.
Perjuangan Felda tidak menunggu tepukan atau sambutan. Ia bekerja dalam diam, menanam masa depan dengan akar yang panjang. Ketika institusi lain berlari mengejar relevansi, FELDA memilih untuk menegakkan makna juang.
Dalam dunia yang cepat berubah, yang kekal bukan siapa yang paling laju, tetapi siapa yang paling jujur kepada asal-usul perjuangannya.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penulis dan pengkaji dalam bidang komunikasi strategik serta kewartawanan baharu. Beliau sering menulis tentang perubahan ekosistem media, budaya digital, dan naratif manusia dalam dunia yang semakin bising dengan maklumat.
Ringkasan AI
- Felda mengalami transformasi dari institusi pembangunan tanah menjadi pemain global dalam industri kelapa sawit
- Inisiatif restrukturisasi kewangan dan peningkatan kepercayaan merupakan langkah penting dalam evolusi Felda
- Strategi Felda kini merangkumi peningkatan kebolehjejakkan, penggunaan teknologi ladang pintar, dan penetrasi pasaran premium untuk kelapa sawit
- Digitalisasi dan pelatihan generasi baru menjadi bahasa baharu Felda dalam menghubungkan rentas generasi peneroka
- Di bawah kepimpinan baru, Felda sedang menulis semula naratifnya dari kelangsungan kepada kemajuan, memadukan warisan dengan visi ke masa depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
