Ujian terbesar Bersatu

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan ujian paling besar sejak penubuhannya apabila kemelut dalaman semakin menyerlah sehingga menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan kepimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
Konflik ini bukan sekadar perbezaan pandangan antara penyokong dan penentang Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya berakar daripada isu transisi kepimpinan yang semakin kritikal, khususnya antara Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa, pertembungan itu berpunca daripada perebutan pengaruh dan kepercayaan mengenai siapa bakal menggantikan Muhyiddin apabila beliau bersara kelak.
“Dua tokoh ini memiliki kekuatan tersendiri. Namun kelebihan nyata berpihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin yang memegang kuasa pentadbiran dan berupaya menentukan tindakan terhadap mana-mana individu dianggap tidak sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, ketegangan meningkat apabila beberapa Ketua Bahagian Bersatu menggesa Muhyiddin berehat daripada jawatan Presiden bagi memberi ruang kepada pembaharuan parti dan penyusunan semula kepimpinan menjelang PRU akan datang.
Antara yang terlibat termasuk Ketua Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail, serta enam lagi ketua bahagian dari Johor, Melaka dan Selangor yang menyuarakan desakan itu dalam siri Jelajah Semarak Bersatu di Pengerang baru-baru ini.
Mereka turut mencadangkan supaya Mohamed Azmin digantikan bagi memulihkan imej parti, manakala Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz digugurkan bagi memperkukuh jentera penerangan dan komunikasi parti.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, turut mengkritik pekeliling dikeluarkan Mohamed Azmin bertarikh 25 Oktober yang melarang ahli bersekongkol dengan individu dikenakan tindakan disiplin parti.
Beliau mendakwa pekeliling itu tidak melalui kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan menyifatkannya sebagai usaha memperkukuh kawalan politik dalaman serta mengukuhkan kedudukan pihak tertentu dalam parti.
Bagaimanapun, sumber dalaman Bersatu menjelaskan langkah tersebut bertujuan memperkemas disiplin dan mengelakkan perpecahan yang boleh menjejaskan fokus parti sebagai teras utama Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, arahan itu selaras dengan usaha memulihkan keyakinan akar umbi selepas beberapa siri pilihan raya kecil dan negeri menunjukkan penurunan undi terhadap PN, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Pemerhati politik melihat konflik ini sebagai manifestasi tekanan dalaman yang sudah lama membara sejak kekalahan PN dalam PRU-15 dan kegagalan untuk menampilkan hala tuju jelas pasca kerajaan Perikatan Nasional.
Mereka berpendapat, perebutan kuasa antara Mohamed Azmin dan Hamzah menonjolkan dilema Bersatu yang masih mencari identiti selepas tidak lagi memegang tampuk kerajaan.
Bagi penulis, kemelut ini menggambarkan Bersatu sedang melalui fasa penstrukturan semula kepimpinan, satu proses yang sukar tetapi penting bagi memastikan parti kekal relevan dalam blok pembangkang.
Walaupun pilihan raya umum masih jauh, perpecahan dalaman yang berpanjangan boleh melemahkan kedudukan PN, khususnya jika Pas mula mengambil alih peranan sebagai parti teras Melayu dalam gabungan itu.
Sejarah politik Malaysia menunjukkan parti yang gagal menyelesaikan konflik dalaman sering melahirkan serpihan baharu, seperti mana berlaku dalam UMNO dan PKR sebelum ini.
Justeru, kelewatan menangani krisis ini berpotensi mencipta ruang kepada perpecahan sekali lagi dalam landskap politik pembangkang, selain menjejaskan keupayaan PN menyaingi kerajaan perpaduan.
Bersatu kini berada di persimpangan genting, sama ada berpecah di bawah tekanan politik dalaman, atau bangkit dengan semangat baharu demi memperkukuh pengaruhnya menjelang PRU akan datang.
Persimpangan ini bukan sahaja akan menentukan hala tuju Bersatu, tetapi juga masa depan PN dalam mendefinisi semula politik Melayu pasca 2025.
* Mohd Azlim Zainury Mat Noor ialah Wartawan Sinar Harian Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

