Nyawa rakyat bukan barangan komoditi

KENYATAAN tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di sidang Parlimen pada Isnin yang menolak sebarang kompromi dan rundingan dengan pemain industri pengangkutan, khususnya syarikat lori yang mengancam keselamatan awam, adalah pendirian yang wajib disokong sepenuhnya.
Sudah tiba masanya, kerajaan melaungkan amaran keras: Nyawa pengguna jalan raya Malaysia bukan komoditi untuk dirundingkan!
Kita tidak boleh lagi memejam mata terhadap tragedi demi tragedi yang berpunca daripada sikap acuh tak acuh dan kegagalan syarikat-syarikat lori perdagangan ini mematuhi peraturan asas.
Kesalahan lampau seperti isu lori lebih muatan, pemandu tanpa lesen sah, kenderaan uzur, brek gagal berfungsi dan pemanduan berbahaya telah lama menjadi 'barah' dalam sektor ini, meragut nyawa orang yang tidak bersalah.
Setiap kemalangan maut yang melibatkan lori perdagangan adalah peringatan pedih bahawa kelalaian mereka membawa akibat yang tidak dapat ditarik balik.
Ancaman untuk berunding atau berkompromi hanyalah taktik lapuk yang digunakan oleh pemain industri yang mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab undang-undang dan moral.
“Dia buat salah, dia minta saya berunding dengan dia. I said forget about it. Tiada runding-runding.” Itu ayat tegas Loke dalam Parlimen.
Apabila keselamatan awam menjadi taruhan, tiada ruang untuk ‘timbang rasa’ atau ‘perbincangan semula’.
Ketegasan Loke untuk menggunakan sepenuhnya kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), termasuk pembatalan Lesen Pengendali dan tindakan keras terhadap pemilik syarikat adalah langkah yang tepat dan perlu.
Mesejnya jelas: Jika anda tidak mampu beroperasi mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan, anda tiada tempat dalam industri pengangkutan negara.
Tindakan tanpa kompromi ini bukan bertujuan menyekat pertumbuhan industri, tetapi memastikan pertumbuhannya adalah mampan dan bertanggungjawab.
Loke telah menunjukkan keberanian politik yang diperlukan. Kini, terserahlah kepada agensi penguatkuasa untuk melaksanakan arahan ini dengan telus, tanpa rasa takut dan tanpa pilih kasih.
Keselamatan jalan raya adalah hak asasi dan hak ini mesti dipertahankan dengan sekeras-kerasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
