95 peratus patuh Perintah Kawalan Pergerakan di Temerloh

Mohd Yusri (dua,kiri) dan Johari (kiri) yang turut turun padang dalam operasi sekatan jalan di Jalan Temerloh-Jerantut.
Mohd Yusri (dua,kiri) dan Johari (kiri) yang turut turun padang dalam operasi sekatan jalan di Jalan Temerloh-Jerantut.
A
A
A

TEMERLOH- Setakat ini tiada sebarang penahanan atau polis terpaksa mengambil tindakan keras terhadap orang awam di daerah ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu susulan penularan koronavirus (Covid-9).

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ini kerana pematuhan orang ramai terhadap PKP berada pada tahap hampir 95 peratus apatah lagi kini polis bergabung bersama anggota Tentera Diraja Malaysia (ATM).

"Kita mengamalkan konsep berhemah dengan menasihati mereka supaya berada di rumah dan tidak melakukan pergerakan tidak penting.

"Setakat ini tiada alasan tidak munasabah diberikan oleh orang awam, mereka hanya keluar untuk membeli barangan atau bergerak di atas kes kecemasan seperti kematian," katanya kepada pemberita ketika penugasan sekatan jalan bersama ATM di Jalan Temerloh-Jerantut,di sini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-7 Artileri Diraja Kem Batu 3, Leftenan Kolonel Johari Zakaria.

Mohd Yusri berkata, seramai 200 pegawai dan anggota dari kem berkenaan membantu 204 pegawai dan anggota polis di daerah ini sepanjang PKP dikuatkuasakan.

"Dengan bantuan dan penambahan ini (kerjasama), saya yakin ia lebih berkesan dalam memastikan orang ramai mematuhi PKP. Dengan bantuan pihak ATM, kita percaya jumlah pematuhan boleh mencapai hingga 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kita menasihati orang ramai supaya mematuhi PKP kerana tindakan di bawah langkah-langkah menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 boleh diambil sekiranya ada yang masih berdegil," katanya.