11 kemalangan kecil direkod sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN - Bukit Aman

HULU SELANGOR - Sebanyak 11 kemalangan kecil direkodkan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, membabitkan kenderaan yang membawa tetamu kenamaan serta pasukan pengiring, dengan dua anggota trafik dilaporkan cedera ketika menjalankan tugas.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua anggota terbabit yang mengalami patah kaki kiri dan kecederaan pada tangan kiri kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan pemulihan.
"Mereka menunjukkan semangat serta motivasi tinggi untuk kembali bertugas sebaik pulih sepenuhnya,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap anggota berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Omar Mokhtar.
Mohd Yusri berkata, JSPT akan menjalankan post-mortem bagi menilai semula prosedur operasi standard (SOP) dan langkah penambahbaikan untuk memperkukuh keselamatan anggota dan pengguna jalan raya selepas Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di ibu negara.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas keprihatinan terhadap kebajikan anggota yang cedera ketika bertugas.
Koperal Kamarul Suari, 35, yang cedera selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara Lebuhraya Elite pada Sabtu lepas, berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota trafik.
"Sudah 11 tahun saya berkhidmat dalam pasukan trafik dan ini merupakan kali kedua saya terlibat dalam kemalangan, saya mahu cepat sembuh supaya dapat meneruskan tugasan," katanya yang cedera pada bahagian kaki kiri.
Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri, 25, yang mengalami kecederaan di tangan kiri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, JSPT serta Kementerian Dalam Negeri atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan.
"Ini memberi semangat dan kekuatan rohani serta jasmani kepada saya untuk segera pulih dan kembali bertugas,” katanya.
Dalam kejadian pada Ahad lepas, Muhammad Danial cedera selepas motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu di ibu negara ketika mengiringi delegasi dari Brazil. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 11 kemalangan kecil direkodkan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
- Dua anggota trafik cedera dengan keadaan kini stabil sedang menjalani pemulihan
- JSPT akan menilai semula SOP dan langkah penambahbaikan keselamatan selepas sidang kemuncak
- Penghargaan kepada keprihatinan PM dan Menteri Dalam Negeri terhadap anggota yang cedera
- Koperal Kamarul Suari dan Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri menerima sumbangan dan ucapan terima kasih atas keprihatinan terhadap mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
