Polis cari Ong Wei Hai bantu siasatan kes bunuh

Polis sedang mengesan Ong Wei Hai bagi membantu siasatan kes bunuh di Jalan Permatang Pauh, pada 9 Oktober lalu.
Polis sedang mengesan Ong Wei Hai bagi membantu siasatan kes bunuh di Jalan Permatang Pauh, pada 9 Oktober lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, lelaki berkenaan dikenali Ong Wei Hai, 41, yang alamat terakhir di Villa Tanjung, Jalan Tanjung Villa, di sini.

Menurutnya, individu berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, polis telah menahan empat individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) pada Rabu di kawasan Butterworth dan Kampar, Perak.

Menurutnya, empat individu itu yang berusia antara 24 hingga 42 tahun disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 9 Oktober lalu, mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat ditemui disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.43 petang itu, mayat lelaki tersebut ditemui oleh seorang pekerja pembersihan yang sedang menjalankan tugas rutin di kawasan flat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kepala mangsa turut diserkup menggunakan plastik.

Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31 yang bekerja sebagai ejen insurans sebelum ini dilaporkan hilang sejak 8 Oktober lalu selepas dia dikatakan keluar ke Perlis atas urusan kerja dan tidak dapat dihubungi.

Berikutan itu, bapa mangsa yang berusia 69 tahun dan bekerja sebagai peniaga tampil membuat laporan polis sebelum mayat anaknya ditemui di dalam beg.

Ringkasan AI

  • Polis sedang mencari Ong Wei Hai, 41, untuk membantu siasatan kes mayat lelaki dalam beg di Flat Ampang Jajar
  • Ong Wei Hai dikehendaki membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
  • Empat individu sudah ditahan untuk membantu siasatan kes yang sama
  • Mayat lelaki dengan kesan kelar di leher ditemui disumbat dalam beg pada 9 Oktober
  • Mangsa, Lee Boon Han, 31, ejen insurans, dilaporkan hilang sejak 8 Oktober

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!