Pelan Damai Gaza perlu dipantau rapi – Anwar

Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-20, pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-20, pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Semua usaha di bawah Pelan Damai Gaza yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump perlu dipantau secara teliti bagi memastikan matlamat menamatkan konflik di Palestin benar-benar tercapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN menyambut baik pelan komprehensif tersebut yang disifatkan sebagai langkah awal penting dan kritikal ke arah menghentikan kekejaman serta jenayah genosid di Gaza.

“Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa usaha ini perlu diteruskan dan dipantau dengan rapi agar keamanan yang berkekalan dapat dicapai, selain memastikan wujudnya penyelesaian politik yang inklusif, adil dan lestari untuk Palestin,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, di sini pada Isnin.

Pada September lalu, Trump mengumumkan pelan damai yang mengandungi 20 perkara bagi menamatkan perang di Semenanjung Gaza yang kini masih terkepung.

Pelan tersebut merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin yang bebas daripada pengaruh politik bagi mentadbir wilayah berkenaan.

Terdahulu, dalam pertemuan singkat antara Anwar dan Trump sebelum Presiden AS itu berlepas ke Tokyo, Jepun pagi tadi, Perdana Menteri sempat menyatakan penghargaan terhadap peranan AS dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza.

Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • KUALA LUMPUR - Semua usaha Pelan Damai Gaza oleh Donald Trump perlu dipantau untuk menamatkan konflik di Palestin
  • ASEAN menyambut baik pelan tersebut sebagai langkah awal penting ke arah menghentikan kekejaman di Gaza
  • Usaha tersebut perlu diteruskan dan dipantau rapi untuk mencapai keamanan yang berkekalan dan penyelesaian politik yang adil untuk Palestin
  • Pelan damai mengandungi 20 perkara termasuk pembebasan tawanan Israel dan Pelucutan senjata sepenuhnya Hamas
  • Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terhadap AS dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan Pelan Damai Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!