Isu sumbangan makanan percuma, wanita tampil mohon maaf

Farhana Zahra turut membuat permohonan maaf dan penjelasan secara langsung di Facebooknya hari ini.
Farhana Zahra turut membuat permohonan maaf dan penjelasan secara langsung di Facebooknya hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Pemberi sumbangan yang juga pemilik produk kecantikan tampil memohon maaf berikutan hasratnya untuk mengagihkan makanan percuma terpaksa dibatalkan akibat berlaku kesesakan orang ramai yang berkumpul di hadapan pejabatnya di Bandar Baharu Tumpat hari ini.

Farhana Zahra berkata, agihan sumbangan makanan itu yang disasarkan kepada 300 penerima dihentikan serta-merta berikutan orang ramai datang di luar jangkaan dan tidak mematuhi arahan.

Katanya, dia sudah berpesan supaya orang ramai tidak berkumpul dan datang jam 2 petang untuk mengambil sumbangan itu, namun sebaliknya orang yang datang dalam jumlah yang sangat ramai bermula jam 12 tengah hari.

“Pembahagian dihentikan serta-merta sebab tak dengar arahan. Sebuah rumah datang sampai empat, lima buah motosikal. Arahan polis tak dengar, arahan Rela pun tak dengar.

“Agihan tidak dilakukan langsung dan apabila sampai di hadapan pejabat itu saya terus minta semua beredar,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Wanita berkenaan turut membuat permohonan maaf dan penjelasan secara langsung di laman sosial itu berhubung perkara berkenaan kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Status yang dimuat naik Farhana Zahra di laman sosial Facebooknya hari ini.
Status yang dimuat naik Farhana Zahra di laman sosial Facebooknya hari ini.

Katanya, dia hanya berniat untuk membantu golongan memerlukan yang tidak mempunyai pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya akui salah saya, saya jangka lain dan yang terjadi lain. Niat saya nak bantu pengikut saya yang susah mengejut pada waktu Covid-19 ini.

“Orang miskin lain mungkin dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat, tetapi yang susah mengejut ini tidak ada simpanan, tidak ada gaji. Saya faham macam mana orang tak ada makanan di rumah sebab tidak berduit. Apa-apa pun saya minta maaf kerana benda di luar jangkaan,” katanya.

Menurutnya, dia juga baru pulang dari luar negara dan diarahkan kuarantin selama 14 hari menyebabkannya membuat keputusan agar penerima mengambil sumbangan di pejabatnya.

“Saya hendak agih kepada 300 orang jadi tidak perlu keluar ke rumah mereka, namun perkara lain terjadi dan selepas ini tidak akan mengagihkan bantuan dengan cara ini.

“Sebelum ini saya ada buat pembahagian beras pada bulan puasa, tapi orang tidak ramai, jadi saya sasar macam tu juga orang yang hadir, tapi tak sangka musim ini terlampau ramai yang hadir,” katanya.

Tambahnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Ramai yang WhatApps, ada yang telefon tanya, insya-ALAH, ALLAH Maha Mengetahui.

“Doakan yang baik-baik untuk saya diberikan rezeki yang melimpah ruah. Maafkan saya sebab niat saya tak menghalalkan cara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai bersesak untuk makanan percuma