Dron, serangan kereta kebal Israel sasar peronda UNIFIL di selatan Lubnan

ISTANBUL - Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Ahad memaklumkan satu daripada pasukan perondanya diserang menggunakan bom tangan oleh dron dan kereta kebal Israel berhampiran Kfar Kila di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.
UNIFIL dalam kenyataannya berkata, serangan Israel itu "melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan serta kedaulatan Lubnan, dan menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan anggota pengaman yang melaksanakan mandat Majlis Keselamatan di selatan Lubnan.”
Menurut kenyataan itu, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Misi pengaman itu turut memaklumkan bahawa sebuah dron Israel terbang di atas rondaan UNIFIL di kawasan sama, menyebabkan pasukan pengaman mengambil langkah pertahanan bagi meneutralkan ancaman itu.
UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978 dan diperkukuhkan secara besar-besaran selepas perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah pada 2006 melalui Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.
Israel berulang kali melancarkan serangan udara di Lubnan dengan alasan menyasarkan infrastruktur Hizbullah walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak November 2024.
Mengikut terma perjanjian gencatan itu, tentera Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan selewat-lewatnya Januari 2025.
Namun, sehingga kini, pengunduran itu hanya dilakukan sebahagian, dan Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima pos sempadan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan pengaman PBB di Lubnan diserang dengan bom tangan oleh dron dan kereta kebal Israel
- Serangan Israel melanggar Resolusi 1701 Majlis Keselamatan dan kedaulatan Lubnan
- Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam insiden itu
- UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978, diperkukuhkan selepas perang tahun 2006
- Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima pos sempadan walaupun sepatutnya berundur sepenuhnya menjelang Januari 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
