Dua maut kenderaan bertembung

KOTA TINGGI - Seorang warga emas dan seorang lelaki maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 18 Jalan Mawai–Kuala Sedili
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 1.15 tengah hari yang melibatkan kereta jenis Proton Waja yang dipandu warga emas berusia 71 tahun dan kenderaan serba guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 29 tahun.
"Siasatan mendapati kereta Proton Waja berwarna emas yang dipandu warga emas terbabit hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV Perodua Alza.
"Akibatnya, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dalam pada itu, lima penumpang dari kedua-dua kenderaan terbabit cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Yusof, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan 1, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sejauh 53 kilometer (km).
"Setibanya anggota bomba ke lokasi pada jam 1.49 petang, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dengan MPV jenis Perodua Alza.
"Didapati lima mangsa terlibat daripada kereta Proton Waja iaitu tiga kanak-kanak cedera dan satu lelaki dewasa cedera sementara seorang warga emas berusia 70 tahun meninggal dunia.
"Selain itu, daripada MPV Perodua Alza, seorang lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia dan dua lagi lelaki berusia 28 tahun cedera dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
"Operasi berjaya dikawal pada jam 1.40 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.43 petang," katanya.
Ringkasan AI
- Kemalangan jalan raya di kilometer 18 Jalan Mawai–Kuala Sedili melibatkan dua kenderaan
- Seorang warga emas dan seorang lelaki meninggal dunia
- Kereta Proton Waja terlibat dalam kemalangan dengan MPV Perodua Alza
- Lima penumpang cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
