Banjir: Tiga sekolah di Kedah laksana PdPR

ALOR SETAR - Tiga sekolah di Kedah terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada Ahad berikutan bencana banjir yang menjejaskan akses ke sekolah serta premis yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kubor Panjang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang serta SK Seri Jemerli.
JPN memaklumkan, SK Kubor Panjang dan SMK Kubor Panjang di Pendang antara sekolah yang terkesan akibat banjir, manakala SK Seri Jemerli di Baling pula dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan penduduk yang dipindahkan.
“PdPR dilaksanakan berikutan laluan ke sekolah terputus akibat banjir. Semua sekolah dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada Isnin selepas PPS di SK Seri Jemerli ditutup,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, satu sekolah dikenal pasti terjejas secara langsung akibat banjir iaitu SK Seri Banai di daerah Kubang Pasu yang mula dinaiki air pada jam 12 tengah hari Ahad.
Selain itu, terdapat lima premis sekolah yang dijadikan PPS di dua daerah, melibatkan empat sekolah di Kulim Bandar Baharu dan satu di Kubang Pasu.
“Di Kulim Bandar Baharu, sekolah yang beroperasi sebagai PPS ialah SK Pagar Museh, Karangan; SJKC Khai Min, Karangan; SK Merbau Pulas dan SJKC Aik Chee, manakala di Kubang Pasu membabitkan SMK Changlun,” katanya.
Secara keseluruhan, seramai 255 murid dilaporkan terlibat dalam situasi banjir kali ini, melibatkan 252 murid di daerah Kulim Bandar Baharu dan tiga murid di Kubang Pasu.
“PPS SK Pagar Museh di Karangan dibuka pada jam 11 malam pada , 23 Oktober melibatkan 14 murid, manakala SJKC Khai Min dibuka pada masa sama menempatkan 36 murid.
”SK Merbau Pulas pula dibuka pada Jumaat malam dengan 87 murid, dan SJKC Aik Chee dibuka seawal 7 pagi pada Sabtu bagi menempatkan 115 murid.
“Di Kubang Pasu, PPS SMK Changlun mula beroperasi pada 7 malam Sabtu yang menempatkan tiga murid yang turut terkesan akibat banjir,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Tiga sekolah di Kedah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat banjir
- Sekolah yang terlibat adalah SK Kubor Panjang, SMK Kubor Panjang, dan SK Seri Jemerli
- SK Seri Jemerli di Baling dijadikan pusat pemindahan sementara
- SK Seri Banai di Kubang Pasu terjejas secara langsung oleh banjir
- Seramai 255 murid di Kulim Bandar Baharu dan Kubang Pasu terlibat dalam situasi banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

