X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin berterima kasih bangga dengan warga PDRM

Biarpun hujan lebat anggota polis yang dibantu anggota tentera tetap menjalankan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berterima kasih dan berbangga dengan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedia mencurah bakti dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin.

Menurut Perdana Menteri, pengorbanan pasukan keselamatan negara itu dapat dilihat terutamanya dalam situasi negara yang kini dilanda wabak koronavirus (Covid-19) dan PDRM telah memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dapat dilaksanakan dengan baik serta lancar.

“Di sini saya ingin katakan rasa terima kasih dan bangga saya kepada semua anggota polis yang telah pun secara sukarela dikerah untuk menjalankan tugas untuk menjamin agar kawalan pergerakan ini dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Tentulah ia memerlukan sesuatu pengorbanan dan juga komitmen yang tinggi agar negara kita ini akan terus menjadi sebuah negara yang aman dan selamat,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Polis ke-213 di sini malam ini.

Muhyiddin turut mendoakan agar anggota PDRM mendapat pahala dan keredaan daripada ALLAH SWT.

“Sekali lagi, saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan selamat menyambut Hari Polis dan mudah-mudahan anda semua akan berada dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera,” katanya.

Hari Polis Ke-213 itu akan disambut secara serentak di seluruh negara pada tarikh baharu dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula di seluruh negara pada 18 Mac berkuat kuasa sehingga 31 Mac. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!