Pelajar perempuan berseragam sekolah beli arak tanpa halangan di India terima kecaman ramai

Gambar tular menunjukkan beberapa pelajar perempuan dikesan membeli alkohol di Madhya Pradesh.
Gambar tular menunjukkan beberapa pelajar perempuan dikesan membeli alkohol di Madhya Pradesh.
A
A
A

BHOPAL – Tindakan beberapa pelajar perempuan berseragam sekolah membeli arak di sebuah kedai milik kerajaan di Nainpur, daerah Mandla, Madhya Pradesh tanpa sebarang halangan mencetuskan kemarahan orang ramai dan kecaman terhadap pihak berkuasa tempatan.

Video yang tular di media sosial itu menunjukkan pelajar terbabit dengan mudah mendapatkan arak walaupun masih di bawah umur, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai kelemahan penguatkuasaan undang-undang serta tahap tanggungjawab sosial di negeri berkenaan.

Memetik laporan NDTV, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beberapa pelajar perempuan dengan kepala separa bertudung berjalan masuk ke kedai arak, menuju ke kaunter dan membuat pembelian tanpa sebarang halangan.

Lebih mengejutkan, peniaga di kedai tersebut melayan permintaan pelajar terbabit dan menyelesaikan transaksi, tindakan yang jelas melanggar undang-undang.

Susulan video itu tular, Pegawai Daerah Bahagian (SDM) Ashutosh Thakur bersama pegawai tempatan bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan segera.

Pemeriksaan mendapati berlaku penjualan arak kepada bawah umur, sekali gus menyalahi Syarat Lesen Umum (GLC) di bawah undang-undang minuman keras.

Susulan penemuan itu, SDM Ashutosh Thakur mengarahkan Jabatan Eksais menjalankan siasatan terperinci dan menyerahkan laporan tindakan segera.

Pemilik kedai kini sedang disoal siasat, manakala pihak berkuasa turut menyiasat sama ada pelajar-pelajar terbabit bertindak sendiri atau dihantar oleh individu lain.

Pegawai Eksais Daerah, Ramji Pandey mengesahkan bahawa kes terbabit benar-benar berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Laporan akan dihantar kepada Pegawai Daerah dan lesen kedai akan dibatalkan. Pekerja yang menjual arak kepada bawah umur juga akan dipecat," katanya.

Insiden itu menimbulkan kemarahan penduduk Mandla yang mendesak tindakan tegas terhadap pemilik kedai serta meminta pentadbiran negeri bertanggungjawab atas kecuaian tersebut.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Presiden Kongres Daerah, Dr Ashok Marskole turut mengecam kejadian berkenaan.

Ringkasan AI

  • Pelajar perempuan berseragam membeli arak di kedai kerajaan di Nainpur tanpa halangan
  • Video tular menunjukkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang minuman keras
  • Peniaga kedai terlibat dengan jualan arak kepada pelajar yang masih di bawah umur
  • Pegawai Daerah dan Jabatan Eksais bergegas siasat, menemui pelanggaran Syarat Lesen Umum
  • Tindakan diambil termasuk siasatan lanjut, pembatalan lesen kedai dan pemecatan pekerja yang terlibat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!