Kadar indeks jenayah di Sarawak turun 75 peratus sehari

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kadar indeks jenayah di Sarawak menurun 75 peratus sehari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, semalam, sejumlah lima kes jenayah telah dilaporkan yang melibatkan kes kecurian motosikal dan kes mendatangkan kecederaan.

“Secara purata, indeks kes jenayah sebelum pelaksanaan PKP yang direkodkan lingkungan 15 ke 20 kes sehari,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aidi berkata, tahap kepatuhan rakyat terhadap PKP bertambah baik dengan adanya penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak dua hari lepas.

Katanya, setakat ini seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan kerana bertindak agresif ke atas anggota polis yang sedang bertugas semasa sekatan jalan raya yang dijalankan di bandar raya pada Sabtu lepas.

“Lelaki yang merupakan pemandu lori itu telah ditahan serta-merta untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan polis. Esok suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya.

Di Sarawak, sejumlah 136 lokasi dijalankan operasi sekatan jalan raya bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu yang akan berakhir 31 Mac ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: