Projek LPT3 diteliti semula, bukan diabaikan - PKR Terengganu

KUALA TERENGGANU - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menegaskan keputusan kerajaan Persekutuan meneliti semula pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) bukan bermaksud mengabaikan pembangunan di Pantai Timur.
Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, dakwaan bahawa kelewatan projek itu disebabkan sikap sambil lewa kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta sebenar.
Menurutnya, kenaikan kos LPT3 daripada RM2.87 bilion kepada RM9.8 bilion menuntut semakan menyeluruh terhadap model pembiayaan, struktur konsesi serta implikasi kewangan jangka panjang.
"Keputusan Persekutuan untuk menilai semula projek ini bukan tanda pengabaian, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab fiskal bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjadi beban kewangan negara atau menyebabkan kadar tol yang tinggi kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan kekal komited memastikan setiap projek mega memberi manfaat sebenar dan berterusan kepada rakyat, bukannya gah pada permulaan tetapi akhirnya menekan pengguna serta ekonomi tempatan.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya Pantai Timur dianaktirikan dan menegaskan kejayaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini mencatat kemajuan lebih 90 peratus di Terengganu membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang.
"Selain ECRL, kerajaan turut menyalurkan pelbagai pelaburan dan program pembangunan di negeri ini termasuk inisiatif kemampanan ekonomi, peningkatan tenaga kerja serta pembangunan luar bandar," katanya.
Aiman menjelaskan, pelaksanaan projek LPT3 yang menggunakan model 'profit-return toll system' menyebabkan ia perlu diteliti secara berhati-hati agar tidak membebankan pengguna pada masa depan.
"MPN PKR Terengganu menyokong usaha Kerajaan Persekutuan menilai semula setiap projek mega secara bertanggungjawab dan telus demi memastikan setiap sen perbelanjaan awam membawa manfaat kepada rakyat, termasuk di Terengganu.
"Pendekatan berhati-hati ini menggambarkan iltizam kerajaan untuk melaksanakan pembangunan secara mampan, berhemah dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan didorong kepentingan politik jangka pendek," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilapor menuntut komitmen penuh kerajaan terhadap pelaksanaan Projek LPT3 yang didakwa masih belum menunjukkan perkembangan positif.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, perkara itu telah berulang kali disuarakan oleh wakil rakyat Terengganu dan Kelantan, namun projek berkenaan masih belum menunjukkan perkembangan positif.
Menurut beliau, pihaknya berharap agar projek LPT3 mendapat perhatian dan komitmen sewajarnya bagi kegunaan 3.14 juta penduduk di dua negeri tersebut.
Ringkasan AI
- PKR Terengganu menyatakan penelitian semula projek LPT3 oleh kerajaan bukan menunjukkan pengabaian pembangunan di Pantai Timur
- Kenaikan kos LPT3 menuntut semakan menyeluruh untuk mengelak beban kewangan kepada negara
- Kerajaan Persekutuan komited memastikan manfaat sebenar projek mega kepada rakyat tanpa membebankan
- Kejayaan projek ECRL di Terengganu membuktikan kerajaan berkomitmen terhadap pembangunan seimbang
- Pendekatan berhati-hati dalam menilai semula projek mega mencerminkan komitmen kerajaan untuk pembangunan mampan dan kepentingan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
