Terengganu tuntut komitmen kerajaan terhadap projek LPT3

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menuntut komitmen penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang didakwa masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, isu LPT3 telah berulang kali disuarakan oleh wakil rakyat Terengganu dan Kelantan, namun sehingga kini projek berkenaan masih belum menunjukkan perkembangan positif.

"Projek LPT3 adalah isu yang sering disuarakan oleh Ahli-ahli Parlimen Terengganu dan Kelantan namun sehingga kini masih dipandang sepi oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita mengharapkan LPT3 akan mendapat perhatian dan komitmen yang sewajarnya demi kemaslahatan 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan," katanya menerusi hantaran di laman sosialnya pada Ahad.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan Malaysia 2026 di Dewan Rakyat, Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa pelaksanaan LPT3 wajar diberikan keutamaan selepas melalui tempoh penangguhan terlalu lama.

Menurutnya, LPT3 yang diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion berikutan beberapa kali penangguhan.

"Walaupun kajian awal telah siap pada Ogos 2022, projek ini masih tidak disenaraikan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.

"Berdasarkan jawapan Menteri pada sidang lalu, projek ini masih di peringkat penyediaan dokumen Request for Proposal (RFP) walaupun sudah sekian lama dibangkitkan. Sedangkan manfaatnya akan dirasai oleh lebih 3.14 juta penduduk di dua negeri,"katanya.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa antara asas pembentukan dan kestabilan negara adalah kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang perlu dijalankan secara telus dan adil.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa agar formula khusus diwujudkan bagi memastikan tadbir urus dapat bergerak lancar seiring dengan pembangunan sebuah negara berdaulat.

"Tiada negara yang mampu mencapai kemajuan sebenar tanpa penyertaan wilayah secara saksama. Bagaimana Malaysia ingin mencapai status negara maju menjelang 2030 jika ketidakseimbangan wilayah masih wujud.

"​Ketidakseimbangan wilayah ini berpunca daripada pengagihan fiskal antara negeri dan Persekutuan yang tidak berasaskan keperluan sebenar,"ujarnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan formula yang mengukur keperluan fiskal dan keupayaan fiskal setiap negeri secara objektif.

"​Jika tiada formula khusus, negeri-negeri kurang membangun akan terus terperangkap, bukan kerana tiada potensi, tetapi kerana struktur pengagihan yang tidak adil.

"Selagi jurang ini tidak ditangani, negara akan terus tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana," tambah beliau.

 

Ringkasan AI

  • Menteri Besar Terengganu menuntut komitmen penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3
  • Isu LPT3 sering disuarakan oleh Ahli-ahli Parlimen Terengganu dan Kelantan tetapi masih dipandang sepi
  • Pelaksanaan LPT3 ditegaskan sebagai keutamaan selepas mengalami penangguhan yang lama dan kos projek telah meningkat
  • Walaupun kajian awal LPT3 telah siap, projek tersebut masih tidak disenaraikan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026
  • Menggesa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan negara berdaulat dan adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!