Timor-Leste serah Instrumen Penyertaan Piagam ASEAN, Perjanjian SEANWFZ

KUALA LUMPUR - Timor-Leste pada Sabtu secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengesahkan penyertaan negara ini sebagai anggota ke-11 badan serantau berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan acara itu sebagai detik bersejarah yang memperlihatkan peluasan skop ASEAN merangkumi setiap negara berdaulat di Asia Tenggara.
"Ini adalah detik bersejarah yang kita raikan hari ini,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan instrumen penyertaan itu di sini pada Sabtu.
Mohamad berkata, selaku Pengerusi ASEAN bersama-sama negara anggota yang lain merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Timor-Leste.
"Hari ini kita meraikan anda, sebuah negara yang dibina atas keberanian, ketabahan dan harapan yang tidak pernah pudar dan sekian lama kami menantikan keanggotaan sepenuhnya. Selamat datang ke dalam keluarga ASEAN dan piagam yang kita hormati,” katanya
Beliau berkata, Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, ia "denyut nadi kepada visi bersama kita, satu ikatan disulami kepercayaan, hormat menghormati dan perpaduan yang telah memperkukuh ikatan antara negara-negara kita yang pelbagai dalam mencapai keamanan dan kemakmuran bersama.”
"Dengan menyertai piagam itu, Timor-Leste berikrar untuk berjalan seiring, menyemai aspirasi rakyatnya dalam semangat komuniti ASEAN yang terus berkembang.
"Menerusi Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut bersama-sama kita menzahirkan komitmen murni untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai kawasan aman, bebas daripada ancaman senjata nuklear,” katanya.
Mohamad berkata, penyertaan itu bukan sekadar formaliti institusi tetapi mencerminkan keyakinan Timor-Leste terhadap idealisme ASEAN serta yakin terhadap masa depan bersama berteraskan keharmonian, kerjasama dan saling menghormati.
"Perjalanan untuk berada pada tahap ini sungguh panjang. Daripada perjuangan awal kewujudannya sehingga usaha yang tidak jemu-jemu untuk menjadi anggota ASEAN. Kisah Timor-Leste ialah kisah mengenai ketabahan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, Timor-Leste mencetuskan semangat dan perspektif baharu, serta populasi golongan muda yang bersedia menyumbang sekali gus memperkaya identiti kolektif ASEAN dari segi politik, budaya dan ekonomi.
"Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian serta keupayaannya menukar kepelbagaian itu kepada matlamat bersama. Saya yakin keanggotaan penuh Timor-Leste akan memperkukuh perpaduan serantau.
"Justeru hari ini, kita bukan sekadar mengalu-alukan anggota baharu, tetapi mengesahkan semula keyakinan terhadap ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan bersiap sedia mengharungi masa depan.
"Satu komuniti yang bersatu dalam keamanan, komited terhadap kemajuan dan berteraskan semangat persaudaraan yang tidak berbelah bahagi,” kata Mohamad.
Sebelum Timor-Leste, negara terakhir yang menyertai ASEAN ialah Kemboja yang diterima sebagai anggota ke-10 pada 30 April 1999.
Timor-Leste memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002 berikutan referendum yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1999.
Negara ini secara rasmi memohon menjadi anggota ASEAN pada 2011, mencerminkan aspirasi Timor-Leste untuk menjadi sebahagian komuniti serantau.
Pada November 2022, negara anggota ASEAN bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste dan diberikan status pemerhati berdasarkan Pelan Tindakan Berstruktur ke arah keanggotaan penuh.
Majlis Menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN akan diadakan esok dan dijangka dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN. - Bernama
Ringkasan AI
- Timor-Leste secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian SEANWFZ, sah menjadi anggota ke-11 ASEAN
- Detik bersejarah memperluaskan skop ASEAN merangkumi setiap negara berdaulat di Asia Tenggara
- Penyertaan Timor-Leste mencerminkan keyakinannya terhadap idealisme ASEAN dan masa depan bersama berteraskan keharmonian, kerjasama, dan saling menghormati
- Timor-Leste berkomitmen bersama ASEAN untuk menjaga Asia Tenggara bebas dari ancaman senjata nuklear
- Keanggotaan penuh Timor-Leste di ASEAN dilihat memperkukuh perpaduan serantau dan menyumbang kepada identiti kolektif ASEAN dari segi politik, budaya, dan ekonomi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
