Polis cari waris mayat lelaki bertatu 'Joseph'

Tatu pada lengan kiri mayat seorang lelaki yang ditemui di tepi jalan Lebuhraya Silk, Kajang Khamis lalu. Foto Polis Kajang
Tatu pada lengan kiri mayat seorang lelaki yang ditemui di tepi jalan Lebuhraya Silk, Kajang Khamis lalu. Foto Polis Kajang
A
A
A

KAJANG - Polis mencari waris bagi pengecaman dan tuntutan satu mayat yang dijumpai dalam longkang di tepi jalan di Lebuhraya Silk, Sungai Ramal di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.22 petang daripada orang awam.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan mengesahkan mayat ialah seorang lelaki, memakai baju berwarna biru dan berseluar pendek serta tidak memakai kasut.

"Mayat yang dalam keadaan tidak sempurna dan mulai membusuk itu telah dibawa ke Hospital Kajang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, pemeriksaan di sekitar kawasan juga tidak menjumpai apa-apa senjata atau barangan peribadi milik si mati.

Jelas Naazron, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati pada jam 6.03 petang, 19 Oktober lalu terdapat rakaman individu berjalan kaki melalui tepi lebuh raya tersebut dan memanjat tembok besi di atas lebuh raya sebelum terjatuh ke dalam longkang.

"Pada Jumaat bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi mengesahkan punca kematian ialah kecederaan akibat terjatuh dari tempat yang tinggi dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," ujarnya.

Kata beliau, identiti si mati masih belum dikenal pasti di mana terdapat tatu berbentuk kompas dengan anak panah serta tulisan 'Joseph' di bahagian lengan kiri.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Polis mencari waris mayat yang dijumpai dalam longkang di Lebuhraya Silk, Sungai Ramal
  • Mayat lelaki tanpa kasut ditemui memakai baju biru dan berseluar pendek
  • Tidak ditemui apa-apa senjata atau barangan peribadi di sekitar kawasan
  • Bedah siasat mengesahkan kematian akibat kecederaan terjatuh dari tempat tinggi
  • Mayat memiliki tatu kompas dengan tulisan 'Joseph' di lengan kiri, identiti masih tidak dikenal pasti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!