Op Lancar Deepavali: Kes kemalangan naik, kematian menurun

KUALA LUMPUR – Jumlah kemalangan jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Lancar sempena perayaan Deepavali 2025 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 8,940 kes kemalangan direkodkan sepanjang lima hari operasi bermula 17 hingga 21 Oktober lalu, berbanding 8,498 kes pada 2024.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kemalangan maut menurun sebanyak 9.8 peratus dengan 82 kes berbanding 90 kes pada tahun lalu, manakala jumlah kematian turut berkurangan 12 peratus kepada 85 orang berbanding 96 orang sebelum ini.
“Walaupun jumlah kemalangan meningkat, penurunan kadar kematian menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap keselamatan semakin baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Yusri berkata, kes cedera parah turut menurun 3.1 peratus, manakala kemalangan ringan berkurang 17.4 peratus sepanjang tempoh operasi tersebut.
"Penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kematian dengan 61 orang atau 72 peratus, namun ia menurun 20 peratus berbanding 76 kematian pada tahun lalu," katanya.
Menurutnya, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,952 kes atau 44 peratus, diikuti jalan negeri (18.4 peratus) dan jalan persekutuan (13.3 peratus).
“Sebanyak 43,379 saman dikeluarkan pada tahun ini berbanding 52,090 saman tahun lalu, menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus atau 8,711 saman,” ujarnya.
Mohd Yusri berkata, Op Lancar Deepavali 2025 dilaksanakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan serta jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kami merakamkan penghargaan kepada pihak konsesi lebuh raya, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam yang menjadi rakan strategik dalam menjayakan operasi berkenaan.
“JSPT akan terus komited memastikan kelancaran lalu lintas dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin. Terima kasih kepada semua pengguna jalan raya yang memberikan kerjasama terbaik,” katanya.
Ringkasan AI
- Jumlah kemalangan jalan raya meningkat 5.2 peratus semasa Op Lancar Deepavali 2025
- Kemalangan maut menurun 9.8 peratus dan jumlah kematian turut berkurang 12 peratus
- Penurunan kadar kematian menunjukkan kesedaran keselamatan pengguna jalan raya meningkat
- Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang utama kematian namun ia menurun 20 peratus
- Jumlah saman turun 17 peratus berbanding tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
