Perlu semak imbang, kajian berterusan bagi putuskan rantaian rasuah

Hamdan Daniel
Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM- Mekanisme semak imbang dan kajian perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memutuskan rantaian rasuah di negara ini.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, inisiatif kamera di badan anggota yang bertugas misalnya boleh diperluaskan.

Menurutnya, ini kerana kes rasuah yang sering berlaku akan melunturkan kepercayaan awam terhadap usaha kerajaan melawan gejala tersebut.

"Biasanya rasuah berlaku disebabkan keinginan untuk mencapai kesenangan dengan cara mudah dan akhirnya membawa padah kepada diri sendiri.

"Bukan itu sahaja, malah ia akan memberi kesan kepada kepercayaan rakyat kepada anggota keselamatan. Sudah pasti akan bertambah punah," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, dua anggota Unit Cegah Jenayah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan sepasang kekasih yang dicekup berdua-duaan di dalam sebuah kereta.

Tertuduh, Mohd Zulhelmi Zaini, 36, berpangkat koperal, dan Mohamad Arif Roslan, 26, berpangkat konstabel, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Zulhelmi didakwa secara rasuah meminta suapan RM4,000 daripada pasangan berusia 22 dan 20 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap mereka.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zulhelmi bersama-sama Mohamad Arif didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM2,000 daripada individu sama bagi tujuan sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi di Balai Polis Bukit Baru, Jalan Penghulu Abbas pada 14 Jun lalu.

Tambah Hamdan Daniel, berita berkaitan salah laku rasuah oleh penjawat awam terutama anggota keselamatan amatlah mengecewakan.

"Mereka yang sepatutnya diamanahkan menjaga keselamatan awam tetapi mengambil kesempatan dengan menerima rasuah untuk kepentingan sendiri.

"Bukanlah nilai suapan menjadi perhitungan tetapi sikap, moral dan nilai ingeriti yang hilang sehingga menjatuhkan maruah diri keluarga serta jabatan," jelasnya.

Ringkasan AI

  • Mekanisme semak imbang dan kajian perlu dilakukan bagi memutuskan rantaian rasuah
  • Inisiatif kamera pada badan anggota kerajaan boleh membantu mengurangkan rasuah
  • Rasuah mengurangkan kepercayaan awam terhadap usaha kerajaan melawan gejala rasuah
  • Dua anggota Unit Cegah Jenayah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima suapan
  • Rasuah oleh penjawat awam mengecewakan dan merosakkan nilai moral serta maruah diri dan jabatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!