Lapan bintang muda curi tumpuan Sarjit

Sarjit Singh.
Sarjit Singh.
A
A
A

LAPAN pemain muda yang menyerlah dalam saingan Piala Tun Abdul Razak dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad hoki kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dari 23 hingga 30 November ini serta Sukan SEA Thailand pada Disember.

Pengendali skuad lelaki negara, Sarjit Singh berkata, keputusan memanggil lapan pemain muda itu dibuat selepas berpuas hati dengan kualiti permainan dan disiplin tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan berprestij tersebut.

“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan mutu saingan kali ini yang memperlihatkan ramai pemain muda tampil dengan prestasi konsisten, disiplin tinggi serta semangat juang luar biasa.

“Ini petanda positif bahawa semakin ramai bakat tempatan bersedia bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya pada Khamis.

Menurut Sarjit, pemilihan pemain dibuat berdasarkan kemahiran teknikal, tahap kecergasan serta potensi jangka panjang untuk diserap ke dalam skuad utama kebangsaan.

“Latihan pusat ini akan memberi fokus kepada penyesuaian pemain muda terhadap tempo latihan intensif dan sistem permainan antarabangsa.

“Kami mahu menilai sejauh mana mereka mampu menyesuaikan diri dengan corak latihan berintensiti tinggi,” jelasnya.

Beliau optimis penyertaan pemain muda itu bakal memperkukuh daya saing pasukan dan memastikan kesinambungan generasi pelapis hoki negara terus terjamin.

“Jika mereka menunjukkan kualiti kerja keras dan sikap positif sepanjang latihan, peluang untuk disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah adalah cerah,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Enam daripada lapan pemain yang dipanggil berusia sekitar 20 tahun manakala dua lagi masing-masing berumur 23 dan 26 tahun, dijadual memulakan latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula Isnin ini.

Naib juara, Pahang muncul penyumbang terbesar dengan empat pemain iaitu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz.

Sementara juara, Terengganu menyumbang dua pemain, Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin serta dua lagi wakil Melaka, Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak turut diberi peluang menimba pengalaman di peringkat tertinggi.

Ringkasan AI

  • Lapan pemain muda menyerlah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad hoki kebangsaan
  • Pemilihan dibuat berdasarkan kemahiran teknikal, kecergasan dan potensi jangka panjang
  • Latihan pusat fokus kepada penyesuaian pemain muda dengan sistem permainan antarabangsa
  • Penyertaan pemain diharap memperkukuh daya saing pasukan dan kesinambungan generasi pelapis hoki negara
  • Enam pemain berusia sekitar 20 tahun manakala dua lagi berumur 23 dan 26 tahun dari Pahang, Terengganu dan Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!