Aaron–Wooi Yik cabar Yew Sin–Ee Yi, Fei–Din bangkit bergaya

TIGA beregu badminton lelaki utama negara mempamerkan aksi bertenaga pada pusingan pertama Terbuka Perancis Super 750 di Glaz Arena apabila kesemuanya berjaya menempah tiket ke pusingan kedua.
Beregu nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik membuka tirai kemenangan dengan menundukkan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando–Bagas Maulana 21-15, 26-24 dalam tempoh 45 minit.
Aksi mantap Aaron–Wooi Yik bukan sahaja mengesahkan kemaraan mereka, malah memperlihatkan keyakinan baharu selepas beberapa minggu berdepan turun naik prestasi.
Kemenangan itu turut menampilkan keutuhan semangat juang mereka dalam menutup ruang kebangkitan lawan di penghujung set kedua.
Menanti Aaron–Wooi Yik di pusingan kedua nanti ialah satu lagi wakil negara, Ong Yew Sin–Teo Ee Yi, yang turut melakar kemenangan ke atas pasangan India, P. Krishnamurthy Roy–Sai Pratheek K., 21-18, 21-13 dalam masa 37 minit.
Yew Sin–Ee Yi tampak semakin serasi dan berjaya mencatat kemenangan sulung dalam rekod pertemuan menentang gandingan India tersebut, sekali gus memberi tonik awal untuk berdepan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman.
Beregu nombor empat dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani (Fei–Din) turut mencuri tumpuan apabila bangkit cemerlang menumbangkan juara Terbuka Denmark Super 750, Takuro Hoki–Yugo Kobayashi dari Jepun, 15-21, 21-19, 21-11 dalam aksi sengit berdurasi 52 minit.
Kemenangan berharga itu membolehkan Fei–Din menyamakan rekod pertemuan kepada 3-3 dengan pasangan Jepun tersebut, selain memperlihatkan kematangan mereka dalam mengawal tekanan selepas tewas set pertama.
Di pusingan seterusnya, Fei–Din akan berdepan gandingan Taiwan, Lee Jhe-huei–Yang Po-hsuan, yang sebelum itu menyingkirkan wakil Thailand, Kittinupong Kedren–Dechapol Puavaranukroh, 21-16, 23-21.
Ringkasan AI
- TIGA beregu badminton lelaki utama negara berjaya menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka Perancis Super 750
- Aaron Chia–Soh Wooi Yik mengalahkan gandingan Indonesia dengan skor 21-15, 26-24
- Ong Yew Sin–Teo Ee Yi menang melawan pasangan India 21-18, 21-13 dan akan bertemu Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua
- Goh Sze Fei–Nur Izzuddin bangkit menewaskan juara Terbuka Denmark, Takuro Hoki–Yugo Kobayashi dengan skor 15-21, 21-19, 21-11
- Fei–Din mencapai rekod pertemuan 3-3 dengan pasangan Jepun dan akan bertemu gandingan Taiwan di pusingan berikutnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
