Lelaki diperintah bayar ganti rugi kerana gelar bekas isteri ‘gemuk’

Lelaki itu bersalah kerana menggunakan panggilan berbaur penghinaan. Foto Agensi
Lelaki itu bersalah kerana menggunakan panggilan berbaur penghinaan. Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Seorang lelaki di Turkiye diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi kewangan dan moral kepada bekas isterinya selepas menyimpan nombor wanita itu dalam telefonnya dengan gelaran ‘tombek’ yang bermaksud ‘gemuk’ dalam bahasa Turkiye.

Kes luar biasa itu menjadi tular di media sosial selepas Mahkamah Kasasi di bandar Usak memutuskan bahawa tindakan lelaki berkenaan bersifat menghina dan memberi kesan buruk terhadap hubungan rumah tangga.

Menurut laporan portal Haberler, gelaran tersebut terbongkar ketika prosiding perceraian apabila si isteri mendakwa nama panggilan itu merendahkan maruahnya dan menyebabkan tekanan emosi.

Mahkamah mendapati lelaki itu bersalah kerana menggunakan panggilan berbaur penghinaan dan mengarahkannya membayar pampasan kepada bekas isterinya.

Keputusan itu kini menjadi contoh undang-undang di Turkiye bagi kes-kes penghinaan dalam hubungan perkahwinan.

Berita berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sesetengah pihak menyokong keputusan mahkamah, manakala yang lain berpendapat istilah tersebut tidak semestinya bersifat menghina.

“Panggilan ‘gemuk’ bukan satu penghinaan, malah boleh dianggap manja,” komen seorang pengguna di platform X.

“Mungkin suami tidak berniat jahat. Sayang sekali hal sekecil ini boleh memutuskan hubungan keluarga," ujar seorang lagi pengguna media social.

Bagaimanapun, pakar undang-undang keluarga menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai tanda kemajuan dalam melindungi maruah dan harga diri wanita, menegaskan bahawa bahasa penghinaan, walau kecil sekalipun, boleh dianggap bentuk kekerasan emosi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki di Turkiye perlu membayar ganti rugi kepada bekas isterinya kerana menyimpan namanya dalam telefon sebagai 'tombek' yang bermakna 'gemuk'
  • Kes ini menjadi tular setelah Mahkamah Kasasi di Usak mendapati tindakan lelaki itu menghina dan merugikan hubungan rumah tangga
  • Gelaran 'tombek' terbongkar dalam proses perceraian, di mana si isteri merasa direndahkan dan tertekan
  • Mahkamah memutuskan lelaki bersalah menggunakan panggilan menghina dan mengarahkannya membayar pampasan pada bekas isterinya
  • Keputusan ini menjadi contoh undang-undang di Turkiye untuk kes penghinaan dalam hubungan perkahwinan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!