Peluang Hakim Danish menggegar SIC

Hakim Danish mampu mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri di SIC.
Hakim Danish mampu mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri di SIC.
A
A
A

KETIKA nama Hakim Danish Ramli semakin meniti di bibir peminat sukan permotoran negara, penyertaan sulungnya secara wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 hujung minggu ini bakal menjadi medan penting mengukur sejauh mana bakat remaja berusia 18 tahun itu mampu menyaingi pelumba terbaik dunia.

Hakim Danish bukan nama baharu dalam arena pembangunan bakat negara. Kejayaan menjuarai SIC MiniGP pada 2020 dan pencapaian menamatkan musim Red Bull Rookies Cup (RBRC) musim ini dalam kelompok tiga terbaik sudah cukup membuktikan keupayaannya.

Namun, pentas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ujian sebenar kerana saingan Moto3 lebih mencabar, meliputi strategi, kawalan emosi dan pengalaman, sesuatu yang hanya dapat diasah melalui masa serta perlumbaan sebenar.

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin sudah menetapkan nada realistik – tiada tekanan berlebihan, tiada sasaran podium. Fokus utama ialah pengalaman dan adaptasi. Zulfahmi mahu Hakim Danish menikmati setiap pusingan di litar tanpa terbeban dengan ekspektasi tinggi.

Namun, di sebalik pendekatan berhati-hati, tekanan tetap wujud, bukan daripada pasukan tetapi daripada sorakan ribuan peminat tempatan yang mahu melihat Jalur Gemilang berkibar megah di SIC.

Dorongan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan pelaburan besar kerajaan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWSN) menambah lagi nilai simbolik kepada penampilannya.

Dengan jentera AEON Credit SIC Racing MSI yang kini dilengkapi sokongan korporat tempatan seperti Mitratech Asia, GP Malaysia 2025, ia boleh menjadi titik mula yang mencetuskan lonjakan karier anak kelahiran Terengganu itu.

Jika Hakim Danish mampu menamatkan perlumbaan dengan konsisten dan mempamerkan keyakinan seperti di saingan RBRC, ia sudah cukup untuk menandakan Malaysia kini memiliki pelumba masa depan yang bersedia berjuang di pentas dunia.

Melihat kepada prestasi semasanya, peluang menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik bukan mustahil, apatah lagi dengan kelebihan beraksi di litar yang amat dikenali.

Artikel Berkaitan:

Jika momentum dan ketenangan dapat dikekalkan, Hakim Danish mungkin mampu mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri di SIC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!