Sanggup bakar lori sendiri elak disita JPJ

Lori yang dibakar di hadapan SK Padang Air, Kuala Nerus selepas pemiliknya enggan memberi kerjasama kepada anggota JPJ Terengganu untuk menyita kenderaan tersebut.
Lori yang dibakar di hadapan SK Padang Air, Kuala Nerus selepas pemiliknya enggan memberi kerjasama kepada anggota JPJ Terengganu untuk menyita kenderaan tersebut.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pemilik lori mengambil tindakan drastik dengan membakar kenderaannya sendiri semata-mata mahu mengelak daripada disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, di sini pada Rabu.

Menurutnya, ketika itu pasukan rondaan JPJ mengesan sebuah lori yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori berkenaan merupakan remaja bawah umur, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan tersebut telah tamat tempoh lebih dua tahun.

"Semakan lanjut mendapati lori itu gagal menjalani pemeriksaan Puspakom sejak tahun 2023," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, anggota JPJ kemudiannya mengambil tindakan menyita lori terbabit mengikut peruntukan undang-undang, namun pemilik kenderaan yang tiba di lokasi enggan memberi kerjasama.

"Pemilik lori berkenaan cuba menghalang tindakan anggota JPJ dengan bertindak membakar kenderaan itu sekali gus menyebabkan berlakunya kekecohan di lokasi kejadian," katanya.

Mohd Zamri berkata, hasil siasatan awal mendapati pemilik syarikat mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu.

"Antara kesalahan yang direkodkan termasuk memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur di bawah 17 tahun serta dua kesalahan ubah suai kenderaan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau cuba menghalang tugas penjawat awam.

"Tindakan seperti ini bukan sahaja menjejaskan integriti undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan kepada anggota JPJ serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurut Mohd Zamri, tindakan lanjut akan diambil selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selain dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

"Kes ini juga akan dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi siasatan berkaitan penggajian pemandu bawah umur," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seorang pemilik lori di Kuala Nerus membakar lori itu untuk mengelak disita oleh JPJ
  • Lori tersebut disyaki melanggar pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk pemandu bawah umur dan LKM tamat tempoh
  • Pemilik dan pemandu mempunyai kesalahan termasuk memandu tanpa LKM sah dan tiada insurans
  • Pemilik lori cuba menghalang tindakan JPJ dengan membakar kenderaan
  • JPJ dan PDRM akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan undang-undang berkaitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!