Pemandu lori buang muatan, matikan enjin dan GPS protes JPJ

PASIR MAS - Membuang muatan, matikan enjin dan Sistem Kedudukan Global (GPS) antara tindakan yang dilakukan pemandu lori sebagai tanda protes kepada pelaksanaan Op Perang Kenderaan Lebih Muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 14 hingga 16 Oktober lalu.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan melampau tersebut dipercayai atas arahan pengusaha atau pemilik syarikat yang meminta pemandu berbuat demikian.
"Ketiga-tiga tindakan itu menyebabkan berlaku gangguan dan kesesakan di atas jalan raya," katanya kepada pemberita sempena Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran di Kampung Kasar di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kes membuang muatan itu berlaku di Jalan Labu-Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Katanya, tindakan mematikan enjin dan GPS pula berlaku pada hari yang sama di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur yang menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk.
Muhammad Kifli memberitahu, situasi itu menyebabkan JPJ terpaksa meminta bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menunda lori berkenaan.
"Jika perkara ini terus berlaku, kami sama sekali tidak akan berkompromi dan menghantar laporan kepada APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) untuk tujuan gantung atau batalkan permit lori tersebut.
"Pemandu yang berbuat demikian serta enggan memberikan kerjasama, kami akan menggantung GDL (Lesen Kenderaan Barangan) milik mereka.
"Susulan kejadian itu, saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan Ketua Pengarah JPJ (Datuk Aedy Fadly Ramli) untuk membatalkan permit dan lesen GDL pemandu," tegasnya.
Menurut Muhammad Kifli, sepanjang tempoh tiga hari itu sebanyak 28 kes telah direkodkan oleh pihak JPJ.
Katanya, kesemua lori itu telah disita kerana melanggar peraturan.
Ringkasan AI
- Pemandu lori membuang muatan, mematikan enjin dan GPS sebagai tanda protes terhadap Op Perang Kenderaan Lebih Muatan oleh JPJ
- Tindakan tersebut menyebabkan gangguan dan kesesakan lalu lintas di Jalan Labu-Seremban dan Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur
- JPJ terpaksa meminta bantuan DBKL untuk menunda lori yang terlibat
- JPJ mengancam akan menggantung atau membatalkan permit lori dan GDL pemandu yang tidak memberikan kerjasama
- Sebanyak 28 kes telah direkodkan dan lori-lori yang melanggar peraturan telah disita sepanjang tempoh tiga hari operasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

