Bekas Presiden Perancis jalani hukuman penjara lima tahun

PARIS - Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy telah melaporkan diri di Penjara La Santé, Paris, untuk memulakan hukuman penjara selama lima tahun.
Beliau disabitkan atas kesalahan konspirasi jenayah melibatkan pembiayaan haram kempen pilihan raya presiden tahun 2007, yang didakwa dibiayai oleh Libya.
Sarkozy menjadi bekas ketua negara pertama dalam sejarah moden Perancis yang dihukum penjara.
Mahkamah mengarahkan hukuman dijalankan serta-merta tanpa menunggu proses rayuan, atas alasan keseriusan kes itu terhadap ketenteraman awam.
Menurut pasukan peguamnya, Sarkozy akan ditempatkan dalam sel isolasi bagi tujuan keselamatan dan diasingkan daripada tahanan lain.
Peguam Christophe Ingrain berkata, hukuman tersebut hanya menguatkan lagi tekad Sarkozy untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Seorang lagi peguam, Jean-Michel Darrois, menyatakan bahawa anak guamnya telah bersedia secara mental untuk menghadapi kurungan dan suasana di dalam penjara.
Menurutnya, Sarkozy membawa pakaian tebal kerana cuaca sejuk dan penutup telinga bagi mengurangkan bunyi bising di dalam penjara.
Dalam temu bual bersama La Tribune Dimanche, Sarkozy memberitahu bahawa beliau tidak takut menghadapi hukuman penjara dan akan terus berjuang.
Dalam masa sama, media melaporkan beliau membawa tiga buah buku termasuk The Count of Monte Cristo dan sepuluh keping gambar keluarga seperti yang dibenarkan pihak penjara.
Permohonan pembebasan hanya boleh dikemukakan selepas beliau mula menjalani hukuman, dan mahkamah diberi tempoh sehingga dua bulan untuk membuat keputusan.
Ringkasan AI
- Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy telah melaporkan diri di Penjara La Santé, Paris, untuk memulakan hukuman penjara selama lima tahun
- Beliau disabitkan atas kesalahan konspirasi jenayah melibatkan pembiayaan haram kempen pilihan raya presiden tahun 2007 oleh Libya
- Sarkozy menjadi bekas ketua negara pertama di Perancis yang dihukum penjara
- Mahkamah mengarahkan hukuman dijalankan serta-merta tanpa menunggu proses rayuan
- Sarkozy ditempatkan dalam sel isolasi bagi tujuan keselamatan dan diasingkan daripada tahanan lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

