Bekas Presiden Perancis jadi penghuni tirai besi

PARIS - Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pada Selasa memulakan hukuman penjara lima tahun.
Pemimpin berusia 70 tahun yang memegang penggal pentadbiran pada 2007-2012 itu turut berpimpinan tangan dengan isterinya, Carla Bruni-Sarkozy yang setia di sisinya dan diiringi empat anak bersama cucunya.
Kumpulan penyokongnya juga bertindak melaungkan namanya ketika beliau meninggalkan kediamannya untuk menuju ke Penjara La Sante di Paris.
Sebelum memulakan kehidupan baharu di balik tirai besi, Sarkozy sempat berkongsi catatan di media sosial dan menegaskan beliau tidak bersalah dan meluahkan dukacita mendalam buat Perancis.
“Saya tidak takut akan penjara dan menolak layanan istimewa,” ujarnya.
Sebelum ini, Sarkozy memberitahu akhbar Le Figaro bahawa beliau membawa foto keluarganya dan tiga buah buku untuk menjadi bahan bacaannya.
Bekas pemimpin sayap kanan itu bakal ditempatkan di dalam sel bersendirian atas faktor keselamatan yang berukuran kira-kira sembilan meter persegi dan tidak diberikan akses kepada telefon bimbit.
Pada bulan lalu, Sarkozy disabit bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah berhubung dana haram yang diperoleh daripada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi untuk kempen Pilihan Raya Presiden 2007 yang menyaksikan kemenangannya.
Sarkozy bertindak mengemukakan rayuan setelah mengaku tidak bersalah dan perbicaraan baharu dijangka berlangsung dalam tempoh enam bulan.
Beliau bagaimanapun dibebaskan daripada tiga pertuduhan berasingan termasuk salah guna dana awam Tripoli dan rasuah. - Agensi
Ringkasan AI
- Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memulakan hukuman penjara lima tahun
- Sarkozy ditemani oleh isteri dan empat anak bersama cucunya ke penjara
- Penyokong Sarkozy melaungkan namanya ketika beliau menuju ke Penjara La Sante di Paris
- Sarkozy menegaskan beliau tidak bersalah atas tuduhan dan tidak takut akan penjara melalui catatan di media sosial
- Disabit bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah berhubung dana haram dari Muammar Gaddafi untuk kempen Pilihan Raya Presiden 2007
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

