Dua rentung kereta langgar pokok, terbakar dalam kebun kelapa sawit

Sebuah kereta rentung dan mengorbankan seorang lelaki dan seorang wanita rentung dalam kawasan kebun kepala sawit di Jalan Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Sebuah kereta rentung dan mengorbankan seorang lelaki dan seorang wanita rentung dalam kawasan kebun kepala sawit di Jalan Tanjung Balau, Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki dan seorang wanita rentung selepas kereta dinaiki mereka melanggar pokok dan terbakar dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Tanjung Balau di sini, awal pagi Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, kedua-duanya dipercayai terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios tersebut.

Beliau memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.48 pagi sebelum lapan anggota, dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kereta tersebut terbabas dan melanggar sebatang pokok lalu terbakar. Terdapat dua mangsa di dalam kereta berkenaan.

“Seorang mangsa ialah lelaki dewasa berusia 21 tahun, manakala seorang lagi wanita dewasa yang belum diketahui identitinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kebakaran tersebut.

Katanya, kereta berkenaan terbakar 93 peratus dan pihak bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan pam air dari jentera bomba.

Menurut Faizal, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.11 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dan wanita rentung setelah kereta melanggar pokok dan terbakar di kebun kelapa sawit Jalan Tanjung Balau
  • Kedua mangsa terperangkap dalam kereta Toyota Vios
  • Panggilan kecemasan diterima pada jam 4.48 pagi dan pasukan bomba bergegas ke lokasi
  • Kereta terbakar 93 peratus, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian
  • Mayat diserahkan kepada polis, operasi tamat pada jam 6.11 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!