Tanpa gajet, anak pandai mengait

Fayyadh Zhafran mengisi masa lapangnya dengan mengait.
Fayyadh Zhafran mengisi masa lapangnya dengan mengait.
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara dilarang menggunakan telefon ketika musim peperiksaan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memilih untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, mengait.

Tindakannya yang bersahaja mengait sambil duduk dan berbaring itu dirakam ibunya, Fadillah Abdul Wahab, 42 sebelum video tersebut tular di TikTok dengan lebih 700,000 tontonan dalam tempoh tiga hari.

Menurut Fadillah, dia tidak menyangka keputusan melarang anak tunggalnya, Fayyadh Zhafran Noraien memegang telefon memberi ruang kepada anaknya mencuba perkara baharu secara spontan.

“Waktu itu dia tengah periksa, jadi saya tidak bagi pegang telefon. Bila dia tak ada benda hendak buat, kebetulan di rumah ada dua gulung benang dan satu jarum kait. Dia pun ambil dan cuba,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, itu kali pertama anaknya memegang jarum kait dan semuanya dipelajari sendiri melalui video di YouTube.

Fadillah bersama suami dan anak tunggalnya.
Fadillah bersama suami dan anak tunggalnya.

“Saya ni memang tukang jahit, tapi tak pandai mengait. Saya suruh dia tengok YouTube sahaja, tidak sangka hari yang sama dia terus boleh buat,” katanya.

Fadillah berkata, anaknya seorang yang berani mencuba tanpa terlalu memikirkan kesempurnaan hasil kerja.

Artikel Berkaitan:

“Dia jenis 'confident', buat sahaja walaupun tidak kemas. Sampai saya pun terkejut bila tengok dia boleh kait sambil baring,” ujarnya sambil ketawa.

Keesokan harinya, anaknya membawa hasil kaitan itu ke sekolah dan menjadi perhatian rakan serta guru yang menyangka dia sudah lama pandai.

“Dia siap pakai hasil kaitan itu masa keluar sekolah. Kawan-kawan semua kagum sebab ingat dia dah lama belajar. Padahal baru semalam dia cuba,” katanya.

Fadillah turut mendedahkan, anak itu memang gemar mencuba perkara baharu dan sering menunjukkan keyakinan diri dalam apa jua yang dilakukan.

“Saya kongsi video itu pun sekadar suka-suka, tidak sangka boleh tular. Ramai yang komen positif dan terinspirasi. Bagi saya, kadang-kadang bila kita hadkan gajet, anak boleh tunjuk potensi lain tanpa kita sedar,” katanya yang tinggal di Pasir Gudang, Johor.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mula mengait selepas dilarang menggunakan telefon ketika musim peperiksaan
  • Tindakannya mengait sambil duduk dan berbaring tular di TikTok dengan lebih 700,000 tontonan dalam tempoh tiga hari
  • Ibu Fayyadh, Fadillah Abdul Wahab, menyatakan anaknya belajar mengait secara sendiri melalui video di YouTube
  • Fayyadh membawa hasil kaitannya ke sekolah dan menjadi perhatian rakan serta guru
  • Fadillah berkongsi video tersebut di TikTok tanpa sangka akan tular, menunjukkan kadang-kadang penghadan gajet boleh membuka potensi baru anak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!