Cabaran terbesar Bunga Raya 7s

KONSISTENSI masih menjadi batu penghalang utama skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini biarpun menunjukkan beberapa peningkatan ketara sepanjang dua siri Kejuaraan Asia 7s 2025 di Hangzhou dan Colombo baru-baru ini.
Pengendali Bunga Raya, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, struktur permainan pasukan itu sebenarnya semakin baik terutama dalam aspek pertahanan dan sokongan rakan sepasukan, namun kesinambungan tempo ketika berada dalam zon tekanan tinggi masih belum benar-benar serasi.
“Saya akui konsistensi adalah cabaran utama kami sepanjang dua siri Asia 7s. Banyak elemen sudah menunjukkan peningkatan seperti defensive line dan support play.
“Cuma yang belum betul-betul ‘klik’ ialah kesinambungan tempo dan keputusan dalam zon tekanan tinggi.
“Kita masih lihat beberapa pemain muda mengambil masa membuat keputusan tepat di zon 22 lawan dan ketika bertahan selepas turnover,” katanya.
Beliau berkata, komunikasi di tengah padang turut menjadi antara keutamaan utama kem latihan terakhir bagi memastikan setiap pemain memahami struktur taktikal dengan lebih jelas menjelang Sukan SEA.
“Komunikasi mesti lebih mantap. Ini aspek yang kami beri perhatian serius supaya semua pemain bergerak sebagai satu unit,” tegasnya.
Nik Safuan turut menegaskan bahawa pengajaran paling besar daripada dua siri kejohanan itu ialah kepentingan mentaliti dan pengurusan permainan, selepas beberapa perlawanan yang sepatutnya boleh dimenangi berakhir dengan kehilangan kawalan di minit-minit akhir.
“Fokus sepanjang 14 minit amat penting. Kami tekankan kepada pemain supaya tidak hilang tumpuan walau sesaat kerana dalam tujuh sebelah, satu detik lambat boleh mengubah keputusan perlawanan,” jelasnya.
Menurutnya, pasukan kini beralih kepada pendekatan taktikal lebih fleksibel agar pemain mampu menyesuaikan diri dengan situasi permainan tanpa terlalu bergantung kepada sistem statik.
“Kami mahu pemain mampu adaptasi formasi mengikut rentak lawan. Pemilihan pemain juga kini lebih ketat bukan sekadar pada fizikal dan skil, tetapi kebolehan membaca permainan serta komunikasi di padang,” katanya.
Tambah beliau, kem latihan terakhir sebelum ke Thailand akan memberi penekanan kepada gabungan latihan taktikal, kecergasan fizikal dan keupayaan bermain dalam tempo tekanan tinggi.
“Kombinasi latihan taktikal, suaian fizikal dan kecergasan tinggi amat penting bagi memastikan semua pemain mampu kekal tenang dan efisien di bawah tekanan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Konsistensi menjadi cabaran utama skuad ragbi tujuh sebelah negara menjelang Sukan SEA 2025 walaupun ada peningkatan dalam pertahanan dan sokongan
- Pengendali Nik Safuan Ismade Nik Man menyatakan kesinambungan tempo dalam zon tekanan tinggi dan pengambilan keputusan cepat oleh pemain muda perlu ditingkatkan
- Komunikasi antara pemain di tengah padang menjadi fokus latihan untuk memahami struktur taktikal sebelum Sukan SEA
- Mentaliti dan pengurusan permainan ditekankan selepas beberapa perlawanan yang sepatutnya menang hilang kawalan di minit-minit akhir
- Pasukan akan menggunakan pendekatan taktikal lebih fleksibel dan melatih pemain untuk adaptasi dengan situasi permainan serta meningkatkan kecergasan fizikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
