Usah risau lihat pesawat terbang rendah, bunyi letupan - TUDM

KUANTAN - Orang ramai terutamanya di sekitar daerah Rompin tidak perlu panik dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah serta terdengar bunyi letupan.
TUDM dalam kenyataannya memaklumkan situasi itu adalah latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas TUDM (Paskau) yang akan dilaksanakan di Pantai Hiburan, Rompin bermula 22 hingga 25 Oktober ini.

Menurut kenyataan itu, demonstrasi tersebut sempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM pada 26 Oktober ini.
"Ia akan dipertontonkan kepada tetamu kenamaan, ahli keluarga anggota TUDM yang berjaya menamatkan latihan komando TUDM serta masyarakat setempat.
"Pada demonstrasi itu, TUDM akan mempamerkan keupayaan serta kesiagaan aset-aset, juruterbang dan anak kapal serta anggota PASKAU dalam melakukan serangan terhadap kawasan musuh serta menyelamatkan tebusan," katanya.
TUDM turut memaklumkan, orang awam yang hadir dan parkir kenderaan disekitar Pantai Hiburan pada tarikh tersebut diminta agar membuka sedikit cermin tingkap kenderaan.
"Langkah itu bagi tujuan keselamatan dan menggelakkan sebarang kejadian tidak diingini impak bunyi letupan semasa demonstrasi dilaksanakan," katanya.
Ringkasan AI
- Orang ramai di sekitar daerah Rompin tidak perlu panik dengan kehadiran pesawat TUDM yang terbang rendah dan bunyi letupan
- Latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas TUDM (Paskau) di Pantai Hiburan, Rompin dari 22 hingga 25 Oktober
- Demonstrasi ini sempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM pada 26 Oktober
- TUDM akan mempamerkan keupayaan dan kesiagaan dalam melakukan serangan dan menyelamatkan tebusan
- Orang awam yang hadir diminta membuka sedikit cermin tingkap kenderaan mereka untuk tujuan keselamatan semasa demonstrasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

