Putin mungkin hadir Sidang Kemuncak ASEAN – Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan walaupun setakat ini Moscow hanya mengesahkan penyertaan Timbalan Perdana Menterinya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemputan rasmi telah dihantar kepada Putin dan beliau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kehadiran ke sidang berkenaan.
"Beliau memberitahu saya di Beijing bahawa akan mempertimbangkan perkara ini dengan serius.
"Namun buat masa ini, Rusia memaklumkan hanya Timbalan Perdana Menteri akan hadir,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Forum Ilmu PNB 2025 di sini pada Selasa.
Sebelum ini Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilapor mengesahkan akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Anwar memaklumkan, kehadiran Putin masih terbuka dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam masa terdekat.
"Hari ini kita akan tahu (Putin hadir atau sebaliknya). Buat masa ini hanya Timbalan Perdana Menteri yang datang," jelasnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober 2025 dengan beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka hadir.
Ringkasan AI
- Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur
- Jemputan rasmi telah dihantar kepada Putin dan beliau menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kehadiran
- Setakat ini, Rusia hanya mengesahkan penyertaan Timbalan Perdana Menterinya
- Anwar Ibrahim menyatakan kehadiran Putin masih terbuka dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam masa terdekat
- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

