Pelancong China dakwa batu karang terkeluar sendiri selepas naik roller coaster di Jepun

CHINA – Seorang pelancong lelaki dari China mendakwa batu karangnya ‘terkeluar sendiri’ selepas menaiki tiga permainan roller coaster ketika bercuti di Jepun, lapor WorldJournal.com.
Pelancong berkenaan yang dikenali dengan nama keluarga Wang berkongsi pengalamannya di laman Weibo dan mendakwa semua simptom ketidakselesaan yang dialaminya hilang sejurus selepas insiden tersebut.
Kisah itu kemudiannya menjadi tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menurut laporan itu, Wang yang memang mempunyai masalah batu karang berkata, dia kerap membuang air kecil sepanjang percutiannya di Jepun menyebabkannya mengesyaki salah satu batu telah bergerak ke saluran ureter.
Namun lelaki itu tidak membuat pemeriksaan susulan kerana kebanyakan klinik tidak menerima pesakit pada 13 Oktober lalu sempena cuti umum tempatan
Susulan itu Wang memutuskan untuk meneruskan rancangannya melawat taman tema tersebut.
Selepas menaiki tiga permainan lelaki itu pergi ke tandas dan tanpa disangka telah mengeluarkan sebutir batu kecil berwarna hitam. “Ia seperti batu kecil dicampur dalam nasi. Selepas ia keluar, semua simptom hilang serta-merta,” katanya.
Wang turut menjelaskan, hasil pemeriksaan kesihatan sebelum ini menunjukkan terdapat beberapa batu kecil di buah pinggangnya, namun kerana saiznya kurang lima milimeter, doktor hanya menasihati supaya minum air banyak dan melompat tali bagi membantu pengeluaran batu secara semula jadi.
Kisah luar biasa itu mencuit perhatian ramai pengguna Weibo, malah ada yang bergurau mengatakan bahawa 'doktor mungkin akan mula preskripsi tiga kali naik roller coaster sehari' selepas ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Urologi di Hospital Afiliasi Kelima Universiti Perubatan Guangzhou, Dr Li Tian, menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah kebetulan dan bukannya kaedah rawatan.
Menurutnya, getaran serta perubahan kedudukan tubuh ketika menaiki roller coaster mungkin membantu batu kecil yang sudah hampir keluar.
Bagaimanapun doktor berkenaan berkata, tindakan sebegitu tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan kecederaan atau batu tersangkut dalam saluran ureter.
Ringkasan AI
- Seorang pelancong lelaki dari China mendapati batu karangnya keluar sendiri selepas menaiki tiga permainan roller coaster semasa bercuti di Jepun
- Pelancong tersebut, dikenali sebagai Wang, mengalami gejala ketidakselesaan yang hilang sejurus setelah batu tersebut keluar
- Wang mempunyai masalah batu karang sebelum ini dan mendapati simptomnya bertambah baik selepas batu karang tersebut keluar
- Kisah Wang menjadi viral dan mencetuskan perdebatan di kalangan netizen di Weibo
- Dr Li Tian dari Universiti Perubatan Guangzhou menjelaskan bahawa kejadian itu adalah kebetulan dan bukan kaedah rawatan, menambah getaran dari roller coaster mungkin membantu batu kecil keluar tetapi tidak digalakkan kerana risiko kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
