Sanae Takaichi PM wanita pertama Jepun

TOKYO - Sanae Takaichi, seorang tokoh berperwatakan konservatif, mencipta sejarah pada Selasa apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
Tokoh berusia 64 tahun itu dikenali sebagai ‘Iron Lady’ Jepun kerana ketegasannya serta kekagumannya terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.
Beliau berjaya memenangi undian Parlimen selepas mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan membentuk gabungan dengan parti pembangkang Japan Innovation Party (Ishin).
Walaupun pencapaian ini disifatkan sebagai langkah besar bagi wanita dalam politik Jepun, pemerhati berpendapat kejayaan Takaichi bukan simbol kemenangan feminisme.
Beliau lebih dikenali sebagai konservatif tegar dengan fokus terhadap pertahanan negara, keselamatan ekonomi dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.
Sebagai anak didik mendiang Shinzo Abe, Takaichi dijangka meneruskan dasar ‘Abenomics’ dengan perbelanjaan besar dan pelonggaran monetari. Namun, beliau berdepan cabaran getir termasuk memulihkan ekonomi yang perlahan, menangani isu inflasi serta menyatukan LDP yang terjejas akibat skandal kewangan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pernah memuji beliau sebagai “seorang pemimpin berwibawa dan bijaksana”. Kini, dunia menantikan bagaimana ‘Iron Lady 2.0’ ini akan mengemudi Jepun ke arah baharu. - AFP
INFO:
- Pernah menjadi Menteri Keselamatan Ekonomi dengan tumpuan terhadap keselamatan strategik dan kawalan pengaruh China.
- Ini merupakan percubaannya yang ketiga untuk menduduki jawatan tertinggi selepas dua kegagalan sebelumnya.
- Menjadi Perdana Menteri keempat dalam tempoh lima tahun, mencerminkan ketidakstabilan politik dalam parti pemerintah LDP yang dibelenggu skandal.
Ringkasan AI
- Sanae Takaichi dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun
- Dikenali sebagai 'Iron Lady' Jepun dan mengagumi Margaret Thatcher
- Berjaya memenangi undian Parlimen dengan memimpin LDP dan membentuk gabungan dengan Japan Innovation Party
- Tidak dianggap sebagai simbol kemenangan feminisme tetapi lebih kepada konservatif dengan fokus pada pertahanan dan ekonomi
- Di bawah bimbingan Shinzo Abe dan dihadapkan dengan cabaran ekonomi serta politik dalam parti LDP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

