Pesawat kargo terbabas: Emirates sahkan semua anak kapal selamat

Sebuah pesawat kargo yang tiba dari Dubai terbabas dari landasan dan menjunam ke laut.
Sebuah pesawat kargo yang tiba dari Dubai terbabas dari landasan dan menjunam ke laut.
A
A
A

SHAH ALAM – Syarikat penerbangan utama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates mengesahkan semua anak kapalnya selamat dalam kejadian sebuah pesawat dari Dubai yang terbabas daripada landasan dan menjunam ke laut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong awal pagi Isnin.

Emirates dalam kenyataan berkata, pesawat kargo bagi penerbangan EK9788 itu merupakan pesawat yang disewa daripada syarikat Turkiye, ACT Airlines.

“Semua empat anak kapal yang berada di dalam pesawat disahkan selamat dan kini sedang menerima rawatan perubatan.

“Emirates mengesahkan bahawa penerbangan EK9788 yang mengalami kerosakan ketika mendarat di Hong Kong pada 20 Oktober 2025 merupakan pesawat kargo yang disewa secara 'wet lease' (sewaan pesawat bersama anak kapal) dan dikendalikan oleh ACT Airlines.

“Pesawat jenis Boeing 747-400 dengan nombor pendaftaran TC-ACF itu tidak membawa sebarang muatan kargo ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, dua kakitangan lapangan terbang dilaporkan maut selepas sebuah pesawat kargo yang tiba dari Dubai terbabas dari landasan dan menjunam ke laut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu, pesawat Emirates SkyCargo penerbangan EK9788 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, ACT Airlines dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara 07R selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum (DWC) Dubai.

Pesawat Boeing 747-481 (BDSF) dengan nombor pendaftaran TC-ACF itu dilaporkan terbabas ke arah kiri ketika proses pendaratan sebelum separuh bahagian badannya terjunam ke dalam laut berhampiran hujung landasan.

Menurut kenyataan Emirates, pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Emirates merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja dua kakitangan lapangan terbang yang terkorban di lokasi kejadian.

“Pengendali pesawat, ACT Airlines bersama pihak berkepentingan lain turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam proses siasatan tersebut,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pesawat kargo Emirates dari Dubai terbabas dan menjunam ke laut di Hong Kong
  • Pesawat tersebut disewa dari syarikat Turkiye, ACT Airlines
  • Semua empat anak kapal selamat dan sedang menerima rawatan perubatan
  • Pesawat jenis Boeing 747-400 tanpa muatan kargo ketika kejadian
  • Emirates dan ACT Airlines bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!