'Malu mata' dorong pengundi Pas segan hadiri Hogoh Jelai - Ab Hamid

Ab Hamid Mohd Nazahar
Ab Hamid Mohd Nazahar
A
A
A

KUANTAN - Kehadiran sebenar penyokong yang jauh daripada jangkaan sempena Himpunan Hogoh Jelai anjuran Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan terhadap tahap keyakinan dan mobilisasi pengundi Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, Himpunan Hogoh Jelai yang menyasarkan kehadiran 30,000 penyokong pembangkang itu dicanang sebagai manifestasi kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Namun menurutnya, kehadiran sebenar yang jauh daripada jangkaan menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat setempat.

"Dari sudut psikologi politik, keadaan ini boleh dijelaskan melalui satu fenomena yang semakin ketara dalam konteks politik tempatan iaitu 'malu mata politik'.

"Fenomena ini merujuk kepada keadaan di mana pengundi yang dahulunya cenderung kepada parti tertentu kini memilih untuk tidak menzahirkan sokongan secara terbuka kerana menyedari keberkesanan dan kecemerlangan kepimpinan lawan," ujarnya melalui hantaran di Facebook.

Ab Hamid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan berkata, dalam konteks di DUN Jelai, fenomena ini sangat relevan apabila ramai pengundi Pas sendiri berasa segan untuk hadir ke perhimpunan itu.

"Ini mungkin kerana mereka sendiri mengakui secara diam-diam kewibawaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai yang berprestasi tinggi.

"Kecemerlangan kepimpinan Wan Rosdy terserlah dalam beberapa aspek utama termasuk pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi setempat dan kebajikan sosial rakyat," ujarnya.

Jelasnya lagi, pembangunan DUN Jelai menyaksikan peningkatan ketara terutama kemudahan asas, infrastruktur desa, pendidikan dan peluang ekonomi rakyat luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan beliau (Wan Rosdy) realistik, tenang dan berpaksikan kesejahteraan rakyat telah membina satu bentuk kepercayaan psikologi yang mendalam antara pemimpin dan komuniti.

"Dalam konteks ini, 'malu mata' bukan sekadar reaksi sosial tetapi manifestasi pengiktirafan moral terhadap pemimpin yang berkhidmat dengan hasil nyata," ujarnya melalui hantaran itu.

Beliau berkata, walaupun mereka mungkin masih berafiliasi dengan parti tertentu secara ideologi, tingkah laku politik pasif seperti tidak hadir ke perhimpunan besar menandakan perubahan minda daripada politik retorik kepada politik prestasi.

Katanya, kewibawaan Wan Rosdy juga dapat dijelaskan melalui konsep 'kepimpinan simbolik' di mana kehadiran dan kredibiliti beliau menjadi simbol kestabilan dan kemajuan.

"Dalam politik tempatan, persepsi ini lebih berpengaruh daripada naratif ideologi kerana beliau bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin parti tetapi sebagai figura yang mampu menyatukan kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik," katanya.

Tambah Ab Hamid, Perhimpunan Hogoh Jelai 30K dilihat bukan sekadar kegagalan logistik oleh Pas tetapi sebagai refleksi psikologi terhadap tahap penerimaan masyarakat terhadap kepimpinan sedia ada.

"Situasi itu juga menunjukkan bahawa kecemerlangan kepimpinan mampu melampaui batas ideologi, membentuk penghormatan sosial yang tidak perlu diterjemah melalui sorakan atau jumlah kehadiran.

"Kesimpulannya, fenomena 'malu mata' dalam kalangan pengundi Pas di DUN Jelai menjadi tanda jelas bahawa politik pembangunan, integriti dan prestasi nyata masih menjadi ukuran utama penerimaan rakyat," ujarnya.

Jelas beliau, dalam hal itu, Wan Rosdy kekal sebagai lambang kepimpinan berwibawa yang diiktiraf bukan hanya oleh penyokongnya tetapi juga mereka yang mula sedar bahawa kepimpinan yang benar tidak memerlukan teriakan, cukup dengan bukti hasil di lapangan.

Himpunan Hogoh Jelai anjuran PN yang berlangsung di Jalan Betau – Cameron Highlands, Sungai Koyan pada Ahad menyaksikan kehadiran pimpinan utama PN antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi PN Pahang,Datuk Seri Saifudin Abdullah.

Ringkasan AI

  • Kehadiran penyokong Himpunan Hogoh Jelai jauh daripada jangkaan sempena anjuran Perikatan Nasional di DUN Jelai menimbulkan persoalan keyakinan pengundi Pas
  • Datuk Seri Ab Hamid menjelaskan fenomena 'malu mata politik' di mana pengundi Pas segan menzahirkan sokongan disebabkan keberkesanan kepimpinan lawan
  • Kepimpinan Wan Rosdy Wan Ismail di DUN Jelai dipuji kerana pembangunan fizikal, ekonomi dan kebajikan sosial yang meningkat
  • Fenomena 'malu mata' mencerminkan perubahan minda daripada politik retorik kepada politik prestasi dan dianggap pengiktirafan moral terhadap Wan Rosdy
  • Kegagalan logistik himpunan dianggap refleksi psikologi masyarakat terhadap acceptance kepimpinan sedia ada, menunjukkan politik pembangunan, integriti, dan prestasi nyata penting bagi penerimaan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!