Isu WCE Kampung Jawa: Nasib 19 penduduk ditentukan pada 29 Oktober ini

Borhan (tiga dari kiri) dan Mohd Amran (empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena Majlis Penganugerahan ASN 2025 di Shah Alam pada Ahad.
Borhan (tiga dari kiri) dan Mohd Amran (empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah sempena Majlis Penganugerahan ASN 2025 di Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan satu lagi pertemuan bersama pihak terlibat bagi membincangkan isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang selepas sambutan Deepavali ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, mesyuarat tersebut sebelum ini dijadualkan berlangsung minggu lalu namun ditangguhkan atas permintaan penduduk terbabit.

“Kami sudah adakan dua kali mesyuarat dan sepatutnya ada satu lagi pertemuan minggu lepas, tetapi pihak penduduk minta tangguh hingga selepas Deepavali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Anugerah Seni Negeri Selangor (ASN) 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.

Borhan berkata, pertemuan seterusnya akan diadakan pada 29 Oktober ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik antara pihak WCE, kerajaan negeri dan pemilik tanah terbabit.

“Isu ini melibatkan kepentingan awam. Projek ini hanya berbaki kira-kira 150 meter lagi untuk disiapkan. Jika tidak diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan aliran trafik dan penggunaan lebuh raya,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat duduk semeja bagi mencapai penyelesaian yang baik dan adil kepada semua.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan berunding dengan semua pihak supaya sebarang keputusan yang dibuat tidak menjejaskan hak penduduk tetapi dalam masa sama memastikan kepentingan awam tidak terabai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, isu pembinaan WCE di Kampung Jawa, Klang mencetuskan perhatian apabila 19 penduduk dilapor masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan, semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan mereka sudah menerima pampasan daripada pihak kerajaan negeri serta syarikat konsesi WCE.

Namun, 19 pemilik yang menerima bayaran melalui peguam dilaporkan masih tidak berpindah kerana mendakwa pampasan yang ditetapkan belum mengambil kira nilai sebenar harta dan kesan sosial yang dialami.

Sementara itu, Borhan berkata, ASN 2025 diadakan bagi mengiktiraf sumbangan tokoh serta organisasi yang memperkasa seni dan budaya negeri ini.

Majlis itu juga memberi penghargaan kepada individu dan badan yang memperlihatkan kejayaan, ketokohan, kepimpinan serta sumbangan cemerlang dalam bidang seni budaya khususnya di Selangor.

Penganugerahan berprestij dua tahun sekali itu menyaksikan seorang penguat seni veteran juga merupakan pemilik Warisan Hall Studio, Mohd Khair Ghazali dari Kampung Sijangkang dinobatkan sebagai Tokoh Seni Negeri Selangor 2025.

Dalam pada itu, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) diumumkan penerima Anugerah Pendukung Seni kategori jabatan kerajaan dan korporat, manakala Pertubuhan Kebudayaan Sugam Malaysia menerima Anugerah Pendukung Seni kategori NGO.

Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pendukung Seni kategori media, dan Bavany Annavy menerima Anugerah Khas Juri.

Ringkasan AI

  • Selangor akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat di Kampung Jawa, Klang selepas Deepavali
  • Pertemuan tersebut sebelumnya ditangguhkan atas permintaan penduduk
  • Pertemuan akan diadakan pada 29 Oktober untuk mencari jalan penyelesaian terbaik
  • Isu pembinaan WCE mencetuskan perhatian apabila 19 penduduk masih enggan berpindah
  • Projek WCE hanya berbaki kira-kira 150 meter lagi untuk disiapkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!