Belanjawan 2026: SARA RM100 sekali lagi kejutan dari PM - Anthony

KUALA LUMPUR - Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah RM100 (SARA RM100) kepada 22 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas pada Februari nanti adalah kejutan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu tidak dinyatakan atau dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.
"Seramai 22 juta rakyat kali pertama menerima bantuan SARA bernilai RM100 sempena bulan Kebangsaan dan akan terima sekali lagi menjelang Tahun Baru Cina dan Ramadan pada Februari depan.
"Ini kejutan daripada Perdana Menteri kerana ia tidak dinyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi," katanya dalam sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sebagai rekod, SARA RM100 ialah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos lalu tanpa perlu membuat permohonan.
Bantuan tunai itu boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.
Dalam pada itu Anthony menyifatkan Belanjawan 2026 membuktikan kejayaan awal Kerajaan Madani mengurus kewangan negara serta pelaksanaan pelbagai rasionalisasi subsidi.
Ini kerana menurutnya, kerajaan mampu memulangkan manfaat kepada rakyat selepas melakukan beberapa langkah termasuk rasionalisasi subsidi sejak dua tahun lalu.
"Kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan termasuk memperkenalkan inisiatif baharu bagi meringankan beban kos sara hidup.
"Selain pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak empat kali setahun, penerima juga diberi bantuan SARA setiap bulan.
"Ini adalah bantuan cukup besar diberi kepada penerima yang akan dapat meringankan beban kehidupan mereka," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada Februari
- Ini adalah kejutan daripada Perdana Menteri kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri
- Bantuan tunai boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar hingga 31 Disember
- Belanjawan 2026 menunjukkan keberhasilan Kerajaan Madani dalam mengurus kewangan negara
- Penerima bantuan akan menerima Sumbangan Tunai Rahmah empat kali setahun dan SARA setiap bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

