Taktik sindiket tipu jual topeng muka 'pancing' harga murah

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Polis menerima 14 laporan membabitkan kerugian RM19,531 berhubung kes penipuan penjualan topeng muka secara dalam talian sejak 9 Februari lalu di daerah Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati sindiket penipuan ini aktif mengiklankan penjualan produk terbabit di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, pelbagai iklan dan tawaran oleh sindiket termasuk harga murah untuk menipu mangsa berikutan permintaan yang tinggi disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

"Selain itu kekangan mendapatkan bekalan topeng muka ini di kedai-kedai menyebabkan mangsa memilih untuk membeli menerusi dalam talian.

"Suspek akan mengarahkan mangsa membuat transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diberi, dipercayai milik 'keldai akaun' kononnya untuk bayaran penuh atau pendahuluan. Setelah bayaran dibuat, produk yang dibeli tidak diperolehi dan suspek gagal dihubungi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan laporan yang diterima terdiri daripada pelajar, suri rumah dan pengurus kedai yang mahu membeli stok barangan tersebut untuk dijual semula.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek terlibat.

"Nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan pembeli boleh membuat semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengesan mereka yang menipu dan di samping itu sebolehnya elakkan belian secara dalam dengan membuat bayaran awal. Belian Cash On Delivery (COD) adalah lebih diyakini selamat," katanya.

Artikel Berkaitan: