Piala Datuk Mokhtar Dahari ke Meru

PENJAGA gol muda, Adam Denesh Faizal, muncul wira apabila membantu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru menjuarai Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) selepas menewaskan SMK Putra Perdana dalam aksi final mendebarkan di Stadium Matsushita Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam pada Sabtu.
Dalam penentuan sepakan penalti yang penuh debaran, Adam Denesh menjadi pemisah antara kemenangan dan kekecewaan apabila menafikan dua sepakan penalti lawan, sekali gus memastikan kemenangan 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.
Skuad Meru bimbingan Mat Hassan Mat Rofi yang turun selaku pilihan, mempamer penguasaan menyeluruh pada babak pertama dengan beberapa percubaan berbahaya.

Namun, kekentalan benteng Putra Perdana dibimbingi Mohd Faiz Ghazali ternyata berjaya mematahkan serta menyerap setiap asakan wakil Klang berkenaan.
Bersambung babak kedua, Meru yang sebelum ini menyingkirkan SMK Seksyen 9, Shah Alam 2-0 di separuh akhir, terus meningkatkan tempo permainan.
Namun, kealpaan pertahanan mereka dihukum apabila Ahmad Fitri Darwisy membuka tirai jaringan buat Putra Perdana menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-45 menewaskan Adam Denesh.
Ketika kemenangan dilihat hampir menjadi milik wakil Puchong itu, semangat juang Meru tidak pernah padam.
Usaha berterusan mereka membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Muhammad Raziq Hamzah pada minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan 1-1, sekali gus mengheret aksi ke penentuan penalti.
Di pentas penentuan itu, aksi cemerlang Adam Denesh di gawang menjadi kunci utama kemenangan Meru yang akhirnya dinobatkan juara edisi 2025, membawa pulang RM8,000 dan pingat, manakala Putra Perdana selaku naib juara menerima RM6,000 dan pingat.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Korporat / Setiausaha Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Mohamad Nizam Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Emran Kadir.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, SMK Taman Melawati, Ampang menewaskan SMK Seksyen 9, Shah Alam 2-1 untuk melengkapkan podium.
Kemenangan itu membolehkan Taman Melawati membawa pulang RM4,000 dan pingat, manakala Seksyen 9 menamatkan kempen di tempat keempat dengan RM2,000 dan pingat.
Kejohanan tahunan ini mendapat tajaan PNSB dengan sokongan Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.
Ringkasan AI
- Adam Denesh Faizal menjadi wira apabila membantu SMK Meru menjuarai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 dengan menewaskan SMK Putra Perdana
- Adam Denesh menafikan dua sepakan penalti lawan sehingga SMK Meru menang 4-3 dalam sepakan penalti
- Pertandingan di Stadium Matsushita Panasonic, Shah Alam berkesudahan dengan kedudukan 1-1 dalam masa sebenar sebelum keputusan penalti
- Muhammad Raziq Hamzah menyamakan kedudukan untuk SMK Meru pada minit ke-59 sebelum perlawanan diheret ke penentuan penalti
- SMK Taman Melawati menang tempat ketiga dengan mengalahkan SMK Seksyen 9, Shah Alam 2-1
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
