Taut bahayakan tuntung

Tiga sukarelawan TCS berusaha mengeluarkan mata kail yang terkena pada badan tuntung jantan.
A
A

KEMAMAN - Sekumpulan sukarelawan Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Penyu Malaysia (TCS) terkejut apabila hidupan liar termasuk tuntung sungai yang kian pupus terperangkap pada taut nelayan yang dipasang di Sungai Kemaman.

Kejadian itu disedari semasa sukarelawan TCS menjalankan pemantauan rutin sungai di Kampung Pasir Gajah, di sini semalam sebagai persediaan menjelang musim tuntung naik bertelur atau dipanggil musim persarangan tuntung.

Pengarah Eksekutif TCS, Dr Chen Pelf Nyok berkata, sukarelawannya terperanjat kerana bukan hanya seekor tuntung terkena taut malah ia turut mengena seekor burung bangau.

“Tuntung yang terkena taut itu adalah tuntung sungai jantan yang mempamerkan warna pembiakan sepenuhnya (musim mengawan). Sukarelawan segera bantu keluarkan taut.

“Saya amat sedih melihat tuntung sungai yang sangat terancam terkena pada mata kail ini terutama kerana bilangan tuntung semakin berkurangan bukan sahaja di Terengganu tetapi di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, taut adalah mata kail atau cangkuk yang diikat tali dan digantung dari ranting pokok di tepi sungai dan ia lazimnya diumpan dengan ikan atau perut ayam serta sering kali digunakan penduduk setempat untuk menangkap ikan.

Taut yang ditahan nelayan menusuk bahagian leher tuntung jantan yang jarang ditemui ini.
Taut yang ditahan nelayan menusuk bahagian leher tuntung jantan yang jarang ditemui ini.

“Bagaimanapun, taut membahayakan hidupan liar seperti tuntung dan bangau kalau terkena pada cangkuk berkenaan kerana kena bila haiwan itu kena mata kail, ia tak boleh melepaskan diri dan boleh mati lemas apatah lagi ia terkena pada tuntung jantan yang sangat jarang dijumpai.

“Kes tuntung sungai terperangkap pada taut perlu dilihat secara serius kerana tuntung sungai sangat terancam di seluruh dunia dan ia disenaraikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Dalam pada itu. Dr Pelf Nyok berkata, musim persarangan tuntung cuma sebulan bagi setiap tahun dan taburan tuntung sungai hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu serta spesies itu tidak dijumpai di Sabah dan Sarawak.

“Ekoran ancaman kepupusan, TCS memulakan Projek Pemuliharaan Tuntung Sungai Kemaman pada 2011 dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta penduduk tempatan Kampung Pasir Gajah.

“Sepanjang kawasan Sungai Kemaman iaitu dari Sungai Pinang, Pasir Gajah hingga ke Kampung Batu 14 sememangnya dikenali sebagai kawasan persarangan tuntung. Lebih 4,700 telur dieramkan dan lebih daripada 2,800 anak tuntung dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman," katanya.

Keadaan burung bangau yang terkena taut pada bahagian kepak.
Keadaan burung bangau yang terkena taut pada bahagian kepak.

Sementara itu, Adun Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika dihubungi berkata, larangan dan kawalan aktiviti perikanan di kawasan sungai itu hanya boleh dibuat jika kawasan itu diwartakan sebagai kawasan persarangan tuntung.

“Usaha ke arah pewartaan itu sedang dilakukan dan sebagai usaha memelihara tuntung juga kerajaan negeri sudah tidak membenarkan aktiviti mengambil pasir bermula dari Sungai Pinang hingga Kampung Batu 14 kerana kawasan berpasir di tebing sungai merupakan tempat hidupan itu bertelur," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali menasihatkan nelayan sungai lebih peka dengan keadaan sekeliling sebelum menggunakan taut bagi memastikan tiada binatang tercedera atau mati akibat tersangkut pada mata kail taut yang dipasang.

“Lazimnya nelayan sungai yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan sudah sedia maklum dengan sungai yang menjadi kawasan tuntung dan tidak memasang taut di kawasan terbabit.

“Memang ada kemungkinan taut akan terkena pada burung dan tuntung jadi kita nasihatkan supaya nelayan darat ataupun orang kampung lebih berhati-hati. Di Terengganu, semua alatan nelayan darat belum dilesenkan termasuk taut sebab tiada enakmen yang mewajibkan,” katanya.