SOP khas kes kanak-kanak diumumkan minggu depan - Azalina

KOTA TINGGI – Satu garis panduan prosedur standard operasi (SOP) khas bagi mengendalikan kes-kes kesalahan melibatkan kanak-kanak akan diumumkan pada minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, melalui pelaksanaan SOP tersebut, kerajaan menyasarkan semua kes melibatkan kanak-kanak, sama ada sebagai pelaku atau mangsa dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.
“Minggu depan, pada 24 Oktober, SOP khas bagi kes kanak-kanak akan dilancarkan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.
“Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Malaya juga telah bersetuju bahawa kes kanak-kanak mesti diberi keutamaan.
“Antara cabaran yang dikenal pasti sebelum ini ialah kelewatan kes disebabkan faktor seperti penangguhan, kekangan hakim dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, di sini pada Sabtu.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, antara perkara penting yang ditekankan dalam SOP tersebut ialah proses perbicaraan yang berbeza bagi kanak-kanak yang disabitkan kesalahan.
Menurutnya, bagi kes jenayah seksual dan pengsaksian kanak-kanak, mahkamah telah menyediakan bilik khas bagi memastikan keselamatan serta keselesaan mereka.
“Kita juga telah memperkenalkan van keterangan bagi mempercepatkan proses pengambilan keterangan kanak-kanak.
“Kelewatan kes sering menyebabkan apabila mangsa sudah dewasa, mereka enggan menjadi saksi kerana malu atau trauma,” katanya.
Tambahnya, penggunaan van keterangan juga membantu kanak-kanak yang tidak boleh bergerak sendiri ke mahkamah atau perlu diuruskan selepas waktu sekolah.
Ringkasan AI
- SOP khas bagi kes-kes kesalahan melibatkan kanak-kanak akan diumumkan minggu depan
- Melalui pelaksanaan SOP, kerajaan menyasarkan kes melibatkan kanak-kanak dapat diselesaikan dalam setahun
- SOP akan dilancarkan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 24 Oktober
- Kelewatan kes disebabkan faktor seperti penangguhan dan kekangan hakim
- Penggunaan van keterangan membantu percepat proses pengambilan keterangan kanak-kanak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

